(Oleh: Fenriz Shamudin)
Filem yang menelan kos pembikinan sebanyak 1.2 juta, menjalani penggambaran selama 22 hari pada September 2022 di beberapa lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru ini bakal menemui pecinta filem seram di pawagam seluruh Malaysia pada 25 April 2024 ini. Menampilkan barisan pelakon-pelakon muda berbakat besar seperti Firdaus Suffiyan (Firhan), Mia Sara Shauki (Melati), Lion Chong (Fang Liang) dan Sasidaran (Prem) selaku teraju utama dalam penceritaan kisah 4 sekawan yang memiliki hobi sangat pelik, gemar melepak di tepi kubur.
Bukan calang-calang orang sesuka hati hendak melepak di tepi kubur apatah lagi di waktu malam, memerlukan level keberanian yang luarbiasa. Kedengaran abnormal namun tidak pada pendapat Pengarah Filem ini, Gavin Yap yang sememangnya dibesarkan di kawasan perumahan yang secara kebetulan atau tidak selalu dekat dengan tanah perkuburan. “Rumah keluarga saya di Damansara Utama dan Pulau Pinang memang dekat dengan kubur. Jadi aktiviti melepak tepi kubur bersama kawan-kawan sekolah adalah perkara biasa bagi saya.” ceritanya yang juga merupakan Penulis Skrip bagi filem Geng Kubur ini. “Dari situlah dapat idea buat filem ini.”
Mengangkat kisah tentang persahabatan akrab 4 rakan sekolah yang menjadikan kubur tempat mencari ketenangan dari masalah hidup masing-masing dan lari dari kesesakan. Berdasarkan filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan dengan isu yang melanda diri masing-masing. Dari setiap isu dan masalah, terselit mesej yang ingin disampaikan secara langsung kepada penonton meskipun terpaksa meneka itu dan ini.
Menurut Michael Chen selaku Penerbit Eksekutif Iron Hill Media, “Saya dan Gavin telah berkawan lama dan telah berkolaborasi dalam pelbagai projek sejak tahun 2006 lagi, Apabila Gavin mencadangkan idea filem Geng Kubur ini, saya terus merasa yakin dan percaya bahawa ianya adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem.” Selain dari mempunyai pasukan produksi yang memberi kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran, Michael dan Gavin menaruh harapan yang tinggi agar filem sulung Iron Media Hill ini dapat diterima dan menghiburkan.
Durasi 1 jam 45 minit mampu menaikkan adrenalin penonton hingga berakhir dengan satu penemuan yang tidak diduga. Penampilan para pelakon memainkan peranan masing-masing adalah terlihat berkesan dan tidak dibuat-buat. Meski ada yang berpendapat terlalu banyak dialog mengelirukan, babak-babak flashback yang bertindih, plot cerita sememangnya membuka lebih banyak ruang fikir dalam memahami konteks trauma yang dihadapi. Bagaimanapun tidak banyak jelmaan entiti seram, sekiranya itu yang diharapkan, nuansa menakutkan juga tidak terlalu ketara sebaliknya lebih banyak bermain dengan emosi dan teroka minda.
Firhan terpaksa bertemu dengan pakar psikologi berikutan trauma yang dihadapi sejak kematian ibunya akibat kemalangan jalan raya. Dia yang sering gagal melawan amarah sering memberontak dan bergaduh dengan rakan-rakan tanpa disengajakan. Beruntung memiliki sahabat yang begitu memahami kondisi dirinya, mereka berempat tekad meredah hutan bersama-sama bagi mencari solusi pada mimpi yang sering mengganggu hidup Firhan. Pelbagai kejadian aneh berlaku ketika mereka berada di tengah ketebalan hutan belantara.
Menariknya, terdapat satu karektor misteri diberi nama Mus yang menimbulkan tandatanya dari awal cerita sehingga pengakhiran. Jalan cerita yang agak komplikated, sekiranya terlepas satu adegan akan lebih bercelaru dan keliru. Disitu fokus yang perlu anda berikan lebih apabila menonton Geng Kubur. Bersiap sedialah membeli tiket, anda akan dibawa meneroka ke satu alam mistik yang bukan sekadar seram tetapi juga terdapat variasi elemen lain yang menambah perisa.
Jom ‘serang’ pawagam bermula 25 April 2024 ini, Fotografi dan kerjasama produksi adalah baik, terbentuk dari pasukan berpengalaman yang dilakukan penuh teliti dan rapi, menjadikan filem ini seronok ditonton.