Hubungan jarak jauh Hafiz Hamidun sudah berakhir

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2021 – Penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun baru-baru ini mendedahkan bahawa hubungan cintanya bersama seorang selebriti media sosial Indonesia telah pun berakhir. Faktor jarak jauh antara punca utama mengapa Hafiz Hamidun membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan selebriti tersebut.

Kata Hafiz atau nama lengkapnya Mohammad Hafiz Hamidun,37, selepas memikirkan banyak perkara selain penularan wabak Covid-19 yang membataskan mereka untuk bertemu, dia akur tidak dapat meneruskan lagi hubungan jarak jauh itu.

“Bukan mudah nak beri komitmen pada hubungan jarak jauh. Jadi, lebih baik saya fokus kepada kerjaya dan keluarga kecil saya sekarang ini,” katanya.

Hafiz ditanya media ketika sidang media pelancaran album Zikir Terapi Acapella yang diadakan secara maya semalam.

Hafiz kini tampil dengan album studio terbaharu zikir terapi acapella 

Album terbaru ini merupakan kesinambungan dari kejayaan album beliau Zikir Terapi Diri pada tahun 2011. Album fizikal Zikir Terapi Diri telah terjual melebihi 1.5 juta unit di seluruh dunia dan mencatatkan lebih 100 juta tontonan di YouTube. Tanpa keraguan, ini merupakan antara album yang paling berjaya pernah diterbitkan di Malaysia. Setelah sepuluh tahun album tersebut diterbitkan, Hafiz telah mengambil keputusan untuk Kembali ke studio dan merakamkan versi acapella album tersebut.

Penerbitan album ini sangat luar biasa; meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan oleh Kerajaan berikutan kes COVID-19 di Malaysia, album ini telah diterbitkan secara maya, di mana Hafiz terpaksa bekerja dari jarak jauh bersama jururakam bunyi berikutan keterbatasan dan kekangan operasi. Walau bagaimanapun, mengambil kira penggunaan teknologi sepenuhnya di dalam pembikinan album ini, ia telah sempurna dirakam, diadun dan melalui proses mastering selama sebulan.

Bersama-sama kemunculan album ini secara digital, Hafiz akan menerbitkan versi CD secara terhad dan eksklusif menerusi Shopee. Video muzik dari album ini juga akan mula dikeluarkan bersama-sama pengedaran digital di YouTube.

Album Zikir Terapi Acapella telah diterbitkan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun dan merupakan kerjasama penerbitan di antara label miliknya Arteffects dan Universal Music Malaysia.

Hafiz Hamidun – Tawbatan Nasuha Acapella