December 4, 2024

Oleh: Zizi Hashim

Sutradara John Krasinski telah mencipta sebuah karya sangat menarik yang membuat saya jadi ‘bercahaya’ setelah usai menontonnya. Imaginary Friends adalah filem yang pastinya sangat saya suka sebagai kanak-kanak dan sangat saya kagum sebagai orang dewasa. Saya tak sangka akan berlinangan airmata, ianya begitu menyentuh hati, terasa bagaikan dipeluk hangat oleh masa lalu sewaktu zaman kanak-kanak, dibalut dengan pengembaraan berwarna-warni dihiasi taburan magis.

Paramount Pictures kembali mengajak penonton untuk masuk ke dunia fantasi lewat filem terbaru IF: Imaginary Friends. Ia bermula sebagai filem kanak-kanak yang sangat comel sebelum menyampaikan gelombang emosi kepada semua orang dewasa yang menonton. Pada akhirnya filem ini mengisahkan tentang proses sembuh diri sendiri. Setiap seorang dari teman imaginasi unik dan menyeronokkan. Harus diakui semua orang mahu memiliki ‘seseorang’ di sisi mereka.

Hebatnya seorang John Krasinski, mengangkat tema persahabatan, perjuangan dan eksplorasi di dunia khayalan dengan cara unik yang menghangatkan hati.

Imaginary Friends adalah cerita indah yang membawa penonton melihat melalui mata seorang kanak-kanak dan orang dewasa, meneroka tema zaman kanak-kanak dan kepentingannya. Filem lucu yang mampu membuat saya menangis. Ia memberi gambaran tentang kegembiraan untuk ‘kelihatan’, membuat saya merasai semua keajaiban dan pengembaraan sebagai kanak-kanak disertai kisah sedih, ujian dan kesusahan ketika dewasa.

Kisah mengenai gadis meningkat remaja berusia 12 tahun bernama Bea (lakonan Cailey Fleming) yang kematian ibu akibat kanser, kini hanya tinggal bersama bapa, terpaksa menginap sementara bersama neneknya kerana bapanya perlu menjalani pembedahan jantung. Tanpa diduga, Bea memiliki kebolehan untuk melihat rakan khayalan (IF) kanak-kanak yang ditinggalkan. Dia mendapat tahu jiran misterius-nya Cal juga boleh melihat perkara yang sama, lantas mereka berdua berhasrat untuk menyatukan semula IF ini dengan teman terdahulu mereka.

Bekerjasama dengan Cal, raksasa ungu bernama Blue dan rama-rama bernama Blossom, Bea berusaha untuk mencari anak baru untuk semua IF, mengetahui lebih details tentang setiap mereka, asal usul mereka dan menemui semula kuasa imaginasi.

Sejujurnya ini adalah filem kanak-kanak terbaik yang pernah saya tonton. Ia menarik hati dan memberikan pelajaran berharga bukan saja untuk kanak-kanak malahan untuk org dewasa seperti saya juga. Menjadi orang dewasa, kita sering terlupa untuk berseronok, memupuk impian kita, dan mengekalkan imaginasi ditengah-tengah tuntutan hidup. Terselit juga lawak jenaka pada filem ini, dengan menampilkan karektor utama lakonan Ryan Reynolds dan Steve Carell, menambahkan lagi rencah lazatnya.

Saya berasa terinspirasi dengan filem puspawarna ini. Anak lelaki remaja saya sudah berkali-kali mengajak menonton filem ini sekali lagi. Pengajaran yang dikongsikan ialah biarkan imaginasi anda berjalan liar semahunya tanpa batas. Setiap watak berimaginasi dan sangat comel. Untuk kanak-kanak, pesan yang disampaikan supaya tidak membesar terlalu cepat. Nikmati sepuas-puasnya zaman kanak-kanak yang tidak akan kembali lagi, tak perlu terburu-buru untuk jadi orang dewasa.

Bersediakah anda untuk terjun dalam dunia imaginasi tanpa had? Jom tonton IF: Imaginary Friends, sebuah filem yang pasti akan menghanyutkan anda dalam pengembaraan rollercoaster keajaiban zaman kanak-kanak.