April 20, 2024

Kedatangan bulan Ramadan setiap tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan ini. 

Ia bukan sekadar satu bulan biasa, tetapi juga memberi peluang yang unik untuk meningkatkan kesedaran spiritual, meningkatkan ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Mengambil keberkatan bulan suci itu, syarikat HS Event & Ent Sdn Bhd menganjurkan Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang bakal diadakan pada 23 Mac di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Konsert Ijmal Cinta Ramadan bakal menampilkan barisan penyanyi lagenda tanah air seperti Datuk Hattan, Ella dan Aris Ariwatan.

Penganjur Mubarak Akhtar berkata, Konsert Ijmal Cinta Ramadan bukanlah sebuah persembahan berbentuk hiburan semata-mata, tetapi sebuah acara yang sarat dengan nilai-nilai spiritual yang sesuai dan bermakna dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Menurutnya, orang ramai yang membeli tiket juga turut berpeluang untuk beramal.

“Seperti biasa, pada petang itu akan berlangsung tadarus al-Quran dan tazkirah yang mendalam sebelum kita semua bersama-sama berbuka puasa. Kemudian, kita akan melaksanakan solat maghrib secara berjemaah. 

“Kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan. Selepas itu, solat isyak dan tarawih akan diadakan. Dan barulah persembahan yang ditunggu-tunggu bermula,” katanya.

Menurutnya, penganjur juga tidak melupakan insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan.

“Pada acara ini juga, kita turut meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan. Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Mubarak berkata ketiga-tiga mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri selain kesudian mereka untuk terbabit dalam persembahan istimewa ini.

“Ketiga-tiga artis ini tidak hanya mempunyai kelompok peminat yang besar tetapi juga menunjukkan kesudian yang luar biasa untuk terbabit dalam persembahan istimewa ini. Sesuatu yang cukup bermakna apabila mereka sudi untuk menjayakan konsert ini,” katanya.

Tiket menerusi penjualan meja dijual pada harga RM15,000 (Table VVIP); RM12,000 (Table VIP); RM8,000 (Table Platinum); RM6,000 (Table Gold) dan RM4,000 (Table Silver). Untuk tempahan boleh menghubungi Ain 012 972 1125 dan Shasha 019- 769 5588.