Ikmal Amry Dilanda Dilema dalam Drama Akasia Terbaharu ‘Bukan Ipar Sempurna’

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2025 – Ketika kepercayaan bertukar menjadi pengkhianatan, mampukah cinta terus bertahan dalam badai rahsia dan dendam? Itulah persoalan utama yang menjadi nadi kepada drama terbaharu slot Akasia, Bukan Ipar Sempurna, yang mula bersiaran hari ini.

Diarahkan oleh Ejump Mohd dan diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd., drama adaptasi daripada novel popular karya Bellesa ini mengetengahkan konflik rumah tangga yang sarat dengan emosi, pengorbanan, serta pengkhianatan yang berlaku dalam ikatan kekeluargaan.

Bersiaran selama 28 episod, Bukan Ipar Sempurna mengisahkan Firash, lakonan Ikmal Amry, yang sanggup membatalkan pertunangannya dengan Zara (Jihaa Sham) demi cinta sejatinya, Nadhia (Cahaya Nilam). Namun, cintanya tidak direstui oleh ibunya, Puan Farida (Fazlina Ahmad Daud), melainkan oleh kakaknya, Atma (Nadiya Nisaa), yang menjadi penyokong utama keputusan tersebut.

Kebahagiaan mereka mula tergugat apabila Nadhia disahkan hamil, namun usia kandungan tidak sepadan dengan tempoh perkahwinan mereka. Persoalan mula timbul—siapakah sebenarnya bapa kepada anak dalam kandungan itu?

Kemelut semakin meruncing apabila Zahin (Hafeez Mikail), bekas kekasih Nadhia, kembali muncul dalam hidupnya. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Atma, yang juga isteri kepada Zahin, berpakat dengan suaminya untuk memisahkan pasangan itu. Fitnah mula tersebar, menyebabkan Firash meragui kesetiaan isterinya sendiri dan menyimpan dendam yang semakin menebal.

Selain Ikmal Amry dan Cahaya Nilam, drama ini turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Nadiya Nisaa, Nessa Maureen, Atira Karma, Raff Roslee, Jihaa Sham dan Fazlina Ahmad Daud. Setiap pelakon membawakan watak dengan penuh penghayatan, menjadikan drama ini lebih berkesan dan menyentuh emosi penonton.

Bukan Ipar Sempurna disiarkan bermula hari ini, 13 Mei 2025, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal secara penstriman di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.