Iman Fandi lancar single Raya pertama ‘Hari Raya Raya Raya’

SINGAPURA – Penyanyi yang semakin meningkat naik, Iman Fandi, menghangatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan pelancaran single Melayu pertamanya berjudul ‘Hari Raya Raya Raya’.

Lagu raya yang penuh bertenaga ini menggambarkan kemesraan, nostalgia, dan keunikan tradisi menyambut Aidilfitri. Iman, yang sebelum ini dikenali sebagai peragawati, pelakon, dan atlet, kini semakin menyerlah dalam industri muzik dengan membawa kisah autentik melalui karyanya. Selepas kejayaan album sulungnya, That Girl, lagu ini menandakan titik penting dalam perjalanan seninya dengan mencerminkan warisan dan nilai kekeluargaan yang dekat di hatinya.

Menurut Iman, lagu ‘Hari Raya Raya Raya’ lebih daripada sekadar sebuah lagu perayaan kerana ia menjadi simbol kepulangan dan kebersamaan.

“Lagu ini memaparkan elemen tradisional seperti kecantikan baju baharu, keharuman masakan istimewa, serta kegembiraan berkumpul bersama keluarga. Ia mencerminkan intipati sebenar Aidilfitri,” katanya.

Iman Fandi

Kenangan Bersama Keluarga dalam Proses Rakaman

Menjadikan lagu ini lebih istimewa, Iman turut melibatkan ahli keluarganya dalam proses rakaman, yang mencipta suasana penuh gelak tawa dan kehangatan. Bagi Iman, pengalaman ini memberi dimensi peribadi yang lebih bermakna.

“Merakamkan lagu ini adalah pengalaman luar biasa, apatah lagi dapat melibatkan keluarga dalam proses kreatif ini,” ujarnya.

Rentak Ceria, Lirik Menyentuh Hati

Mengulas mengenai lagu ini, Iman berkata bahawa ‘Hari Raya Raya Raya’ dihasilkan dengan rentak yang ceria serta lirik yang menyentuh hati, mengangkat pelbagai aspek tradisi Hari Raya.

“Lirik lagu ini menampilkan keseronokan berbuka puasa, persiapan baju sedondon, hingga kegembiraan kanak-kanak menerima duit raya. Saya mahu lagu ini dinikmati oleh semua peringkat umur dan memberi gambaran kehangatan perayaan kepada semua,” katanya.

Dengan pengaruh muzik pop yang mudah diterima, Iman berhasrat untuk terus mempersembahkan karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendekatkan dirinya dengan peminat dari pelbagai latar belakang.

Lagu ‘Hari Raya Raya Raya’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 28 Februari lalu.