June 13, 2024

KUALA LUMPUR : Keterujaan dan penantian semakin memuncak apabila Siri Konsert ‘Rock On 40’ yang akan diadakan pada 2, 3 dan 4 Disember ini semakin hampir. Dengan barisan artis lagenda yang cukup hebat seperti Dato’ Awie, Ella, Muss dan band ikonik rock, Search menjadi tumpuan utama di Istana Budaya dalam masa tempoh hanya tinggal seminggu sahaja.

Penganjur Menara Network Sdn. Bhd (MNSB), Dato’ Ab Razif Asmuni berkata, ‘Rock on 40’ Siri 2022, adalah sambutan yang merakamkan perjalanan dan perkembangan muzik rock yang telah menjangkau empat dekad di Malaysia. 

“Persembahan mega ini menandakan permulaan siri konsert rock kami yang mana ianya akan diteruskan pada tahun hadapan dengan jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya.

Dato’ Razif juga membayangkan bahawa persembahan tiga malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik rock Malaysia.

Katanya lagi, “selain menyampaikan lagu-lagu hit mereka, artis-artis lagenda ini juga akan mempersembahkan lagu-lagu yang jarang mereka bawa di konsert solo mereka. Ini adalah sesuatu yang istimewa di konsert ‘Rock On 40′ ini.”

Search bakal membuat persembahan pada 4 Disember ini

Dengan masa yang berbaki seminggu sahaja lagi, latihan untuk konsert ‘Rock On 40′ sedang giat dijalankan. Antaranya Dato’ Amy bersama ahli kumpulan Search telah mempraktikkan set yang biasa mereka lakukan semasa awal mereka berhijrah dan bermain di kelab-kelab seperti Red Roaster di Kuala Lumpur ketika itu.

Search yang akan mengadakan konsert pada 4 Disember ini bakal mempersembahkan 20 lagu yang membawa memori dan peristiwa dalam kehidupan setiap peminat dan pendokong setia kumpulan itu. Search juga akan menghadiahkan 4 buah lagu Inggeris termasuk Lagu Mr Crowley dendangan Ozzy Osbourne yang menjadi ala carte utama sewaktu Search masih lagi merangkak membuat persembahan di kelab sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, dua hari pertama ‘Rock On 40′ akan mempamerkan Dato’ Awie, Ella, Muss yang pernah menjadi vokalis kumpulan May dan juga hero gitar legenda, Man Kidal. Persembahan mereka akan menampilkan beberapa segmen solo dan penghormatan khas kepada wira rock tanahair yang telah pergi meninggalkan kita.

Awie, Ella, Muss dan Man Kidal bakal membuat persembahan pada 2 dan 3 Disember ini

Dato’ Razif berkata, tiket dijual dengan pantas dan tempat duduk agak terhad untuk ketiga-tiga hari itu. Untuk pembelian tiket atau sebarang pertanyaan mengenai konsert, anda boleh layari laman web rasmi menaranetwork.com.

Untuk butiran lebih lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket, sila hubungi Menara Network Hotline di talian 019-9729288, 019-8879288 dan 019-4519288.