January 13, 2025

PETALING JAYA: Setelah 25 tahun menceburi dalam bidang industri seni muzik tanah air, Abdullah bin Ahmad
atau dikenali sebagai Lah Ahmad penyanyi yang membawa muzik R&B tanah air telah berjaya mementaskan sebuah konsert solo selepas showcase pertama beliau pada tahun 2018. Konsert yang diadakan pada 28 dan 29 Januari lalu telah mendapat sambutan yang hangat daripada peminat.

Konsert yang berlangsung di Stage Theatre PJPAC 1 Utama E, Petaling Jaya telah bermula kira-kira pukul 8.45 malam diiringi oleh 10 pemuzik profesional dan mendendangkan hampir 20 buah lagu. Memulakan persembahan dengan lagu Selamat Datang Cinta, seolah-olah meraikan kehadiran peminat yang menyokong perjalanan seninya.

Selain daripada itu, konsert sulungnya ini telah menampilkan dan meraikan album ke-4 beliau yang bertajuk ‘Jatuh’. Konsert ini telah membawa peminatnya menikmati impian beliau yang ingin menjayakan konsert julung kalinya, perjalanan kerjayanya dan menjiwai seni suara serta lagunya.

Konsert yang dinanti oleh Lah Ahmad setelah 25 tahun

Lagu kedua dendangan Lah berjudul Ini Ceritaku dan beliau tidak menyangka pembabitannya dalam bidang seni sudah menjangkau 25 tahun.

“Dah 25 tahun Lah Ahmad dalam bidang seni, akhirnya baru boleh buat live konsert. Sesungguhnya, saya gembira melihat ramai kawan yang hadir memberi sokongan kepada saya.

“Konsert ini dah dirancang setahun lalu dan Alhamdulillah, baru hari ini dapat dilaksanakan. Sesungguhnya ini konsert untuk semua,” katanya meneruskan persembahan dengan lagu Selalu Denganku.

Lah Ahmad berjaya tambat hati penonton hingga akhir persembahan

Konsert yang mempunyai tiga set dimana setiap set mempunyai 6 buah lagu hits beliau. Dengan mengenakan sut serba hitam dan berkaca mata hitam, Lah mendapat sorakan yang gemuruh dari penonton apabila beliau mula muncul di pentas. Perasaan gemuruh tetap ada dalam diri Lah, lebih-lebih lagi beliau sudah lama tidak mengadakan persembahan secara solo. Lah menyelesaikan persembahan bagi set yang pertama menerusi lagu yang dipetik dari album baharu beliau berjudul Ulangtahun.

Lah Ahmad menampilkan kumpulan Inteam

Set kedua Lah Ahmad muncul dengan sut serba putih terus menghiburkan peminat dengan beberapa buah lagu. Tidak keseorangan, Lah muncul bersama-sama kumpulan Inteam berduet menerusi lagu Kasih Kekasih. Lah juga berkongsi pembabitan awal dalam karier solonya dimana kumpulan Inteam banyak memberi dorongan untuk beliau meneruskan langkah dalam industri selepas meninggalkan V.E.

“Sebenarnya saya dah tak nak menyanyi lagi dan saya lebih berminat untuk buat kerja di belakang tabir sebagai pencipta lagu sahaja. Apabila saya cipta lagu dan serah kepada Inteam untuk menilai, mereka minta saya yang menyanyikan lagu tersebut.

“Ini semua peraturan Allah, saya jumpa dengan orang-orang yang baik, maka hari ini adalah hari yang sangat special kerana sebelum ini saya tak pernah menyanyikan lagu Inteam bersama mereka (Inteam) sama sekali. Hari ini saya ingin membalas jasa baik Inteam yang banyak membantu dalam karier seni saya.” Kata Lah.

Lah Ahmad sebak tatkala mendendangkan lagu Di Pintu Syurga

Selesai berduet bersama Inteam, Lah meneruskan persembahan dengan membawakan lagu-lagu seperti Kau Tercipta, Sempurna Dan terbaik, Ya Allah dan salam. Lah tidak dapat menahan sebak tatkala mendendangkan lagu Di Pintu Syurga sebagai penghargaan kepada dua rakan artis yang dihormatinya iaitu arwah Siti Sarah dan arwah Adibah Nor.

Lah Ahmad berduet bersama Shazzy

Bagi set ketiga pula Lah Ahmad muncul dengan mengenakan Jaket hitam putih tampil bersama penyanyi hip hop terkenal, Shazzy menerusi lagu Kenapa.

Lah akui lagu-lagu dendangannya biasa saja tapi yang membuatkan dia berbesar hati setiap lagu yang dicipta melekat di hati pendengar. Beliau suka menulis sesuatu yang datang dari hati sepertimana beliau mencipta lagu Ayu untuk sang isteri.

Selain lagu Ayu dan Kenapa, Lah juga membawa lagu-lagu seperti Kerna Sayang, Tunggu kamu dan Adinda. Menurut Lah, beliau berbangga kerana lagu Adinda yang ditulis sekitar tahun 2009 turut mendapat tempat di hati generasi muda masakini.

“Ramai anak-anak muda yang sebelum ni tak pernah kenal siapa saya, datang kepada saya yang mereka ini begitu minati lagu Adinda.” Katanya.

Turut mengiringi dalam persembahan Lah Ahmad 25 Years Live In Concert, pengarah muzik Shahwal Hussin bersama pemuzik lain yang terdiri dari Don (gitar 1), Khazrin (gitar 2 ), Rajwan (dram), Kabung (Bass), Mirzan (keyboard 2), Syed H Daniel (saxophone), Haniff (Trambone), John (Trumpet), dan Ude Sitar (Programmer).

Lah mengakhiri persembahan menerusi lagu Jatuh yang juga menjadi judul album terbaharunya yang telah dijual secara fizikal pada malam konsert tersebut.

Barisan pemuzik yang mengiringi persembahan Lah Ahmad