KUALA LUMPUR, 12 April 2025 — Kumpulan muzik popular generasi Z, Insomniacks, terus mencipta fenomena apabila melancarkan Extended Play (EP) pertama mereka dalam bahasa Inggeris berjudul Awake & Dreaming. Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya seni kumpulan yang cukup digilai ramai ini.
Dianggotai oleh Iqie (vokalis utama), Iskandar (pemain bes), dan Dan (pemain gitar), Insomniacks dikenali dengan kreativiti tanpa batasan serta sentiasa tampil dengan karya segar dan relevan. Awake & Dreaming menjadi manifestasi kepada evolusi muzik dan kematangan pemikiran mereka sebagai pemuzik muda tanah air.
Menurut Iqie, hasrat untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris sudah lama terpendam sejak awal penubuhan kumpulan ini.
“Kami memang teringin sangat nak lancarkan lagu-lagu Inggeris sendiri sejak dulu lagi. Ia memberikan peluang kepada kami untuk tonjolkan sisi berbeza dan lebih mendalam sebagai pengkarya. Penulisan lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris memberi nafas baru dan rasa yang menyegarkan,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua lagu dalam EP ini merupakan gabungan pengalaman remaja mereka, termasuk perjuangan emosi dalam fasa kedewasaan. Tema utama yang diketengahkan adalah berkaitan kesihatan mental dan cabaran menguruskan emosi — satu mesej yang amat dekat dengan peminat mereka.

Dan pula mendedahkan bahawa tajuk EP ini diinspirasikan daripada pengalaman insomnia yang pernah mereka alami.
“Awake & Dreaming menggambarkan keadaan di mana kami sukar membezakan antara realiti dan mimpi akibat insomnia. Lagu ini tercetus daripada malam-malam yang sunyi dan siang yang terlalu sibuk. Meskipun liriknya ditulis sekitar sedekad lalu, ia masih relevan dan kami berikan sentuhan baru yang lebih moden,” katanya.
EP ini memuatkan lima buah lagu — Anti-Hero, Awake & Dreaming, Overdrive (menampilkan KillaDriz), Some Days Are Just Better, dan Why Don’t You Cry. Kesemua lagu ini diproduksi oleh trio Insomniacks sendiri, dengan kerjasama JOEK sebagai produser dan Joseph Chua selaku penyusun muzik.
Iskandar turut menyuarakan keterujaannya terhadap masa depan kumpulan ini, terutamanya dalam usaha mereka untuk menganjurkan konsert berskala besar.
“Dengan tambahan karya Inggeris ini, kami percaya kami sudah bersedia untuk tampil dengan konsert penuh yang menampilkan gabungan lagu Melayu seperti Pulang, Reminisensi, dan Sempurna, bersama lagu-lagu baru dalam EP ini. Ia memberi kami peluang untuk mempersembahkan versi Insomniacks yang lebih versatil,” katanya.
Lagu Reminisensi dan Sempurna kini turut tersenarai dalam Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia menurut carta RIM, membuktikan keutuhan nama mereka di hati peminat.
Dengan pelancaran Awake & Dreaming, Insomniacks tidak hanya membuka lembaran baru dalam diskografi mereka, malah terus memperkukuh kedudukan sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam dunia muzik tanah air masa kini. Peminat dijangka dapat menikmati sisi lebih peribadi dan emosional dalam karya-karya terbaru ini.