
KUALA LUMPUR, 28 Mac 2025 – Sejak majlis pelancarannya pada September 2024, filem Gayong menjadi antara naskhah yang paling dinantikan oleh peminat filem tempatan. Filem ini diinspirasikan daripada kisah pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), seorang tokoh persilatan yang dihormati.
Lebih menarik, pelakon terkenal Beto Kusyairy dipilih sebagai teraju utama, memegang watak ADMAR. Turut membintangi filem ini ialah barisan pelakon berbakat seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian, dan ramai lagi. Selepas menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli, filem ini akhirnya akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 8 Mei 2025.

Pengarah Yakin Gayong Miliki Tarikan Tersendiri
Pengarah filem Gayong, Faisal Ishak, menyatakan keyakinannya bahawa filem ini bukan sekadar filem aksi biasa, tetapi juga satu usaha untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.
“Saya merasakan Gayong bukan hanya sekadar menampilkan aksi pertarungan, tetapi juga membawa jiwa dan semangat perjuangan dalam dunia persilatan. Kami mahu penonton merasai pengorbanan serta nilai disiplin dalam seni silat,” ujarnya.
Menghasilkan filem berdasarkan kisah seorang tokoh besar bukanlah sesuatu yang mudah. Menurut Faisal, cabaran utama adalah memastikan ketulenan jalan cerita serta penghormatan terhadap legasi ADMAR.

“Sebagai pengasas Silat Gayong, arwah bukan sekadar seorang pendekar, tetapi juga seorang guru yang membawa falsafah mendalam tentang persilatan dan kehidupan. Oleh itu, kami perlu memastikan filem ini benar-benar menangkap semangat dan perjuangan beliau,” tambahnya.
Latihan Intensif Demi Autentikasi Aksi Silat
Bagi memastikan keaslian aksi silat dalam filem ini, setiap pelakon menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.
“Latihan ini bukan sekadar mengajar gerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami falsafah dan semangat di sebalik setiap jurus dan langkah dalam Silat Gayong,” kata Faisal.
Sebagai pengarah, Faisal berharap filem ini akan menjadi penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu berharga kepada generasi seterusnya.
Penerbit Berusaha Pastikan Ketulenan Kisah ADMAR
Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip, mendedahkan bahawa pihaknya telah mendapatkan persetujuan daripada ahli keluarga ADMAR sebelum memulakan produksi. Sejak Disember 2023, mereka telah menjalankan penyelidikan mendalam dan berhubung dengan waris ADMAR, termasuk Hajah Fadzilah (anak) dan Zubaidah Hussin (cucu), bagi memastikan ketulenan kisah yang dipaparkan.
“Kami juga bekerjasama dengan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) yang sentiasa memberikan khidmat nasihat sepanjang produksi, termasuk menghantar ahli pertubuhan untuk memastikan aksi persilatan dalam filem ini autentik,” jelasnya.

Mengenai persaingan dengan filem lain yang turut ditayangkan pada Mei 2025, Khairul mengakui terdapat sedikit kebimbangan mengenai kutipan tiket. Namun, beliau yakin Gayong mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menarik perhatian penonton.
“Saya berharap filem ini mendapat sambutan luar biasa dan mampu membangkitkan semangat serta aura perjuangan kepada mereka yang menontonnya,” katanya.
Sinopsis Filem Gayong
Gayong merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah perjalanan hidup Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia. Filem ini memaparkan kisah perjuangan ADMAR dalam mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan serta bangkit mempertahankan tanah air ketika diancam penjajah. Dengan aksi mendebarkan serta elemen sejarah yang sarat dengan nilai perjuangan, Gayong dijangka menjadi antara filem tempatan yang paling berimpak tinggi pada tahun 2025.