January 14, 2025

KUALA LUMPUR – 23 Januari 2025 bakal mencatat sejarah baharu dalam industri perfileman Malaysia dengan tayangan filem “Soloz: Game of Life”, sebuah karya inspirasi yang diangkat daripada kisah benar ikon E-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Soloz.

Filem ini, terbitan Key Billions Sdn. Bhd., mengisahkan perjalanan hidup Soloz, seorang pemuda dari Seremban, Negeri Sembilan yang meniti kejayaan sebagai pemain profesional permainan Mobile Legends: Bang Bang. Diarahkan oleh pengarah tersohor, Syafiq Yusof, “Soloz: Game of Life” menjanjikan pengalaman yang segar dengan tema E-sukan yang jarang diterokai dalam filem tempatan.

Soloz bukan sekadar pemain E-sukan, tetapi juga simbol ketabahan dan keberanian dalam mengejar cita-cita. Bermula dari awal yang penuh liku, beliau mencipta nama di pentas antarabangsa apabila meraih pingat gangsa mewakili Malaysia di Sukan SEA Filipina 2019. Kejayaan Soloz turut dikenang apabila beliau membeli kereta Ford Mustang menggunakan hasil titik peluhnya sebagai pemain video, serta menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada 2022.

Arahan Sentuhan Unik Syafiq Yusof

Di bawah arahan Syafiq Yusof, filem ini membawa perspektif baharu kepada dunia filem tempatan. Syafiq menyifatkan “Soloz: Game of Life” sebagai peluang untuk menceritakan perjuangan anak muda yang menjadikan minat sebagai kerjaya. Dengan elemen visual yang memukau hasil kerjasama dengan Frame Motion Studio dan sentuhan imej janaan komputer (CGI), filem ini diolah dengan cermat untuk memberikan pengalaman sinematik terbaik kepada penonton.

“Filem ini mengeksplorasi tema penting seperti cita-cita, persahabatan, dan kasih sayang keluarga. Saya harap ia mampu membuka mata masyarakat terhadap potensi besar dalam industri E-sukan,” kata Syafiq.

Barisan Pelakon Mantap

Pelakon muda berbakat, Hun Haqeem, diberi tanggungjawab membawakan watak Soloz, ditemani Ikmal Amry, Jaa Suzuran, dan ramai lagi. Menariknya, filem ini turut menampilkan penampilan khas oleh Datuk Remy Ishak dan Azizah Mahzan, menambahkan daya tarikannya.

Inspirasi dan Runut Bunyi Menggamit Emosi

Filem ini turut diserikan dengan dua runut bunyi yang menggambarkan tema perjuangan dan inspirasi. Lagu “Untuk Semua Jiwa”, hasil kolaborasi Hun Haqeem dan Noki, serta “To The Finish Line” oleh Vanessa Reynauld dan Rebel Asia, kini boleh dinikmati di platform penstriman digital.

Menurut Hun Haqeem, lagu-lagu ini menyampaikan mesej penting filem – menjadi juara bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk semua. Rebel Asia pula menekankan bahawa lagu “To The Finish Line” membawa mesej untuk terus mengejar impian tanpa henti.

Mesej Bermakna untuk Generasi Muda

Penerbit, Rahila Ali, berharap filem ini mampu memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar cita-cita mereka, meskipun berdepan cabaran besar. “Soloz: Game of Life” bukan hanya hiburan, tetapi kisah penuh makna yang menyerlahkan potensi E-sukan sebagai kerjaya profesional.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan “Soloz: Game of Life” di pawagam seluruh negara bermula 23 Januari 2025 dan rasai sendiri perjalanan penuh inspirasi ini.