Inteam Records memperkasakan industri nasyid dengan karya terkini 2025

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Inteam Records terus mengorak langkah dalam industri muzik nasyid dengan menerbitkan karya-karya terbaru yang lebih segar dan relevan. Memasuki awal tahun 2025, syarikat ini memperkenalkan artis baharu, Yusuf Kassim, dengan single debutnya, Permata Yang Dicari 2.0. Dengan susunan muzik yang lebih moden, lagu ini berjaya meraih 10,000 tontonan dalam masa sehari, menerima pujian positif daripada peminat.

Dalam perkembangan lain, saluran YouTube rasmi Inteam Digital telah mencapai kejayaan besar apabila mencecah 1 juta pelanggan. Peningkatan ini didorong oleh populariti video “SHORTS” bacaan surah bertaranum oleh Ustaz Husaini Mahmur, yang mendapat perhatian dari beberapa negara selepas beliau menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa di WTC Kuala Lumpur tahun lalu. Susulan kejayaan tersebut, Inteam Records melancarkan album Tilawah Al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur di semua platform digital. Manakala di YouTube, bacaan surah beliau akan diterbitkan setiap minggu.

Iman Darwisy

Selain itu, Inteam Records turut mengeluarkan mini album Assalamualaikum oleh penyanyi cilik yang semakin popular di media sosial, Iman Darwisy. Penyanyi berusia 14 tahun ini mula mencuri perhatian selepas tular menyanyikan lagu Aina Abdul di konsert penyanyi itu tahun lalu. Menurut Syah Inteam, “Sudah lama kami tidak menghasilkan album kanak-kanak, dan tahun ini, kami ingin memberikan lagu-lagu yang lebih segar dan santai bagi menarik minat anak-anak.”

Iman Darwisy, yang merupakan Johan Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan, tidak menghadapi kesukaran dalam rakaman kerana sudah berpengalaman dalam studio. Mini album ini mengandungi empat lagu, termasuk tiga ciptaan Jef Hazimin Jaafar – komposer terkenal dengan lagu Keluarga Bahagia dari kumpulan Saujana – serta sebuah lagu rakaman semula berjudul Selamat Tinggal Ibuku.

Album-album terkini terbitan Inteam Records

Pada suku pertama 2025, Inteam Records telah menerbitkan beberapa album termasuk Zikir Munajat oleh Hazamin Inteam, Surah Pilihan oleh Ustaz Dr Hazli Ismail, serta Surah Pilihan oleh Ustaz Husaini Mahmur. Setelah 14 tahun tidak menghasilkan album penuh sejak Alam pada 2011, dua pemuzik antarabangsa, Mohar dan Ramli Rebana, yang dikenali sebagai MOHRAM, kini kembali dengan album Dhuha terbitan Inteam Records.

Mohram

Rahim Inteam turut berkongsi bahawa sempena Ramadan tahun ini, mereka akan tampil berbeza dengan lagu solo oleh Hazamin bertajuk Di SisiMu. “Sebelum ini, setiap kali Ramadan kami menerbitkan semula lagu popular Inteam dengan rakaman terbaru bersama artis mainstream. Tahun ini, kami tampilkan kelainan dengan lagu solo anggota Inteam.”

Lagu raya dan projek animasi Inteam Kids

Menjelang Syawal, Inteam Records akan melancarkan lagu raya terbaru bertajuk Taqabalallah Raya, ciptaan Syah Inteam dan dinyanyikan oleh artis-artis Inteam Records seperti Inteam, Husaini Mahmur, Mateen, dan Yusuf Kassim. Lagu ini akan diterbitkan pada 21 Mac 2025 di semua platform digital.

Sempena ulang tahun ke-25 kumpulan Inteam, mereka juga akan melancarkan album Inteam Kids bersama Iman & Sara dalam versi animasi. Syah Inteam berkata, “Kali ini, kami akan hadir dalam bentuk animasi dengan sembilan buah lagu, termasuk muzik video Adab Tidur yang sudah tersedia di YouTube Inteam Kids.” Selain itu, saluran YouTube Inteam TV juga akan menampilkan kandungan menarik seperti travelog dan persembahan terbaik mereka.

Konsert ulang tahun ke-25 Inteam

Tahun 2025 juga menyaksikan perancangan konsert istimewa bersempena 25 tahun Inteam. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada hujung September 2025 di Zepp Kuala Lumpur. “Untuk info lanjut, kami akan umumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial rasmi kami,” kata Hazamin.

Abdul Rahim Inteam menutup perbualan dengan harapan agar peminat terus menyokong mereka. “Kami berharap agar peminat terus menyokong dan menonton kandungan kami di YouTube Inteam Digital, di mana pelbagai pengisian bermanfaat seperti nasyid, zikir, selawat, dan bacaan Al-Quran disediakan untuk semua.”