KUALA LUMPUR, 28 Februari 2025 – Nama Iqbaal Ramadhan sering dikaitkan dengan watak Dilan dalam filem Dilan 1990, namun ramai yang mungkin terlupa bahawa beliau juga seorang pemuzik berbakat. Kembali ke dunia muzik, Iqbaal memperkenalkan dirinya sebagai solois dengan nama pentas BAALE, membawa konsep BritPop yang segar dan autentik.
BAALE telah melancarkan album sulung berjudul FORTUNA pada Mei 2024, mengandungi 11 lagu yang membawa makna nasib baik dan perjalanan muzik yang penuh harapan. Album ini mendapat sambutan hangat daripada peminat yang mengikuti perjalanan Iqbaal dalam bidang muzik sejak era Coboy Junior.
Kini, peminat di Malaysia bakal berpeluang menyaksikan BAALE secara langsung buat pertama kali dalam Konsert BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Jun 2025, bermula jam 8 malam. Dibawakan oleh Miebird Projects, konsert ini dijangka mengubat kerinduan peminat yang sebelum ini hanya mendengar FORTUNA melalui platform digital seperti Spotify dan YouTube.

Menurut Idreez J dari Miebird Projects, pihaknya teruja untuk membawa BAALE ke Malaysia bagi mempersembahkan muziknya secara langsung kepada peminat.
“Kami berbesar hati untuk mempersembahkan BAALE kepada peminat di Kuala Lumpur. Ini adalah peluang terbaik untuk mereka mengenali muzik dan perjalanan seni beliau dengan lebih dekat. Kami hanya mahu peminat menikmati konsert ini sepenuhnya seperti mana BAALE begitu teruja untuk bertemu mereka,” katanya.
Bagi Iqbaal Ramadhan sendiri, kehadirannya ke Malaysia sebagai BAALE adalah sesuatu yang istimewa.
“Saya sangat gembira dapat datang ke Malaysia sebagai BAALE buat kali pertama. BAALE adalah cerminan diri saya yang paling jujur, dan FORTUNA menyuarakan kisah masa muda dalam menghadapi kesepian dan mengejar impian. Semoga peminat di Malaysia dapat merasai setiap cerita dalam muzik saya dan terus berjalan bersama BAALE untuk karya-karya mendatang,” ujarnya.

Tiket konsert ini dijual dalam beberapa kategori, termasuk RM198 – RM218 (FORTUNA – Zon Berdiri Hadapan), RM218 (MUSIM – Tempat Duduk Bernombor), RM268 (MALAM MINGGU – Tempat Duduk Bernombor), serta RM398 VIP Box (10 pax per box). Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com.
Peminat BAALE di Malaysia, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur di Zepp KL pada 15 Jun 2025. Semoga ada FORTUNA dalam pertemuan anda bersama BAALE pada malam yang penuh magis ini.