December 4, 2024

TELOK PANGLIMA GARANG – Penyanyi yang mencipta nama era 60an, Datuk Jeffrydin berharap agar ada pihak atau badan-badan berkaitan menghidupkan semula irama 60an dan pop yeh yeh supaya disemarakkan lagi di kalangan generasi muda masakini. Jeffreydin atau nama sebenarnya Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman menyifatkan usaha Warisan Sound untuk terus memartabatkan muzik 60an adalah satu ‘journey’ buat peminat baharu yang ingin mengetahui dengan lebih dekat tentang muzik tersebut.

“Bagi saya, usaha Haji Khair wajar dicontohi malah badan-badan berkaitan yang berada di luar sana seharusnya mengambil inisiatif sebegini demi mengekalkan nuansa muzik 60an itu sendiri”, ujar Datuk Jeffrydin.

“Saya juga berharap agar peminat yang datang ke konsert itu nanti dapat menggayakan fesyen 60an demi menghidupkan lagi suasana itu”, tambah beliau.

Jeffrydin yang ditemui sewaktu sidang media festival dan konsert 60an yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang. Konsert yang bakal diadakan pada 7 dan 8 Oktober bermula jam 11 pagi sehingga 12 malam, berharap akan mengembalikan semula kenangan dan nostalgia tersebut.

Selain Jeffrydin yang popular menerusi lagu Mas Mona, ramai lagi penglibatan artis-artis 60an yang bakal menjayakan konsert tersebut. Lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada konsert tersebut sudah pasti ramai yang akan terbayang kembali pakaiannya, kaca mata hitam, Vespa dan potongan rambut yang begitu popular pada suatu ketika dahulu.

Menurut penganjur dan Pengarah Urusan Warisan Sound, Mohd Khair Ghazali bahawa ianya bukan sekadar konsert semata-mata tetapi ianya adalah festival yang bakal diisi dengan pameran 60an dan gerai jualan untuk pengunjung. Lebih menarik penonton berpeluang menikmati makanan dan minuman yang disediakan khas secara percuma.

“Konsert ini dijalankan dua kali atau dua malam di Warisan Hall Studio secara fizikal dan boleh diakses melalui siaran premium YouTube bertiket. Rakaman konsert turut dijadikan sebagai kandungan digital saluran YouTube Warisan Records dan Wak Tv Warisan.”

“Dijalankan 2 hari, bermula 11.00 pagi hingga 12.00 malam. Pada waktu siang persembahan dibuka kepada semua kumpulan band dengan syarat mestilah memainkan lagu 60an. Persembahan dapat disaksikan di luar dan dalam Warisan Hall Studio”, ujarnya.

Selain Datuk Jeffrydin peminat juga bakal dihiburkan oleh J. Sham, S. Mariam, Wak Mustar A. Rozainie Razali, Ahmad Yassin, Kugiran Wak Jeng, The Zurah, Malaya Boy Band, Somestimes Group, kumpulan The Majlis, bakat remaja Adik Shahaddad dan Adik Damia. 

Festival dan Konsert 60an @Warisan Hall adalah untuk persembahan berkonsep lagu-lagu 60an dan klasik dengan menampilkan penyanyi-penyanyi atau artis yang memperjuangkan dan muncul pada era 60an serta digandingkan dengan penyanyi-penyanyi atau artis muda tempatan yang menjadi pelapis memperjuangkan dan tampil dengan imej lagu-lagu 60an dan klasik”, ujar Mohd Khair lagi.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua malam boleh di tonton di Warisan Hall Studio secara fizikal dan boleh diakses melalui siaran premium YouTube bertiket. Rakaman konsert turut dijadikan sebagai kandungan digital saluran YouTube Warisan Records dan Wak Tv Warisan.

Festival dan Konsert 60an @Warisan Hall adalah sokongan penuh oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia melalui Kumpulan Mycreative Ventures di bawah Dana Persembahan Muzik, Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023. Dana Persembahan Muzik ini memberi tumpuan untuk penganjuran acara berbentuk persembahan atau konsert muzik awam yang mengetengahkan bakat-bakat tanah air.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert boleh mendapatkan tiket yang berharga RM25 dan RM10 (online streaming).

https://www.tiktok.com/@kelkatutv/video/7275358354690559240?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7266700120481646081