June 13, 2024

KUALA LUMPUR : Setelah hampir 10 tahun semenjak teater Asrama-RA dipentaskan buat kali pertama, Revolution Stage kini membawa kisah terbaru yang terjadi di SMK Mulia.

Pertama kali dipentaskan hampir 10 tahun dahulu di Menara Mara, skrip teater tulisan penulis dan pengarah teater, Khairunazwan Rodzy ini mula menempa nama di kalangan penggemar dan penggiat teater di Malaysia dan di lembah klang khususnya apabila ia dipentaskan di KL Performing Arts Centre (KLPac) yang dibarisi dengan pelakon terkemuka tanah air seperti Dira Abu Zahar, Siti Saleha, Nadiya Nissa, Fynn Jamal, Intan Nor Saina, Sharifah Amani, Sherry Al Hadad dan Amerul Affendi.

Kini, hampir enam tahun semenjak pementasan teater itu dipentaskan, Khairunazwan bersama penulis Asyraf, kembali dengan skrip terbaru yang berlatar belakangkan kisah sekolah yang sama di dalam skrip pertama beliau, iaitu di SMK Mulia.

Jika teater Asrama-RA menampilkan kisah yang berlaku di asrama wanita di sekolah tersebut yang membawa isu gangguan seksual dan berkonsepkan rahsia antara pelajar dan guru, Teater Asrama-RA: Dorm Putra ACT II pula membawa isu yang berlainan dan fokus kali ini pula adalah di asrama lelaki pula.

Bagi pementasan kali ini, Khairunazwan meletakkan kepercayaan kepada pelakon-pelakon yang sememangnya tidak lagi asing dalam dunia teater tempatan seperti Fadhli Masoot, Han Zalini, Fimie Don, Ikhlas Jalil, Idham Maulana, Anwar Rusdini, Nesa Idrus, Sri Idrina dan dibantu oleh pelakon terkenal tanah air, Nam Ron.

“Teater Asrama-RA: Dorm Putra ACT II kali ini membawa kisah yang lebih kepada kes-kes buli yang terdapat di sekolah di negara kita, dan saya membawa kisah dari asrama lelaki pula, setelah teater yang lalu fokusnya terletak di asrama perempuan,” kata Khairunazwan.

Barisan pelakon yang menjayakan teater Asrama-RA: Dorm Putra ACT II

Menurut Khairunazwan juga, dia tidak akan lagi mengulangi konsep mimpi dan rahsia agung yang dibawa seperti skrip yang lalu, tapi yakin bahawa kisah kali ini tetap akan memberi pengalaman dan keunikan yang tersendiri.

Bagi penerbit produksi, Taqim Zaki, menjayakan projek ini merupakan satu usaha yang melangkaui pentas teater, kerana isu malar segar yang dibawakan sangat relevan dengan masyarakat dan memberi kesedaran kepada bukan sahaja para pelajar dan guru dalam institusi pendidikan malah menerokai akal fikir golongan muda remaja, dewasa untuk direnungkan.

“Selain daripada penjenamaan Asrama-RA yang sudah punya pengikut tersendiri, projek kali ini akan lebih fokus kepada, bagaimana isu buli yang taboo ini dapat disampaikan kepada khalayak supaya semua peka agar menyekat gejala ini daripada menjadi barah.”

Teater Asrama-Ra : Dorm Putra (ACT II) mengisahkan tentang Ijan seorang pengawas sekolah tingkatan empat yang bakal menjadi ketua pengawas tahun depannya telah datang melawat ke sebuah bilik asrama lamanya bagi mencari sepucuk surat yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Sopi. Dalam bacaan surat itu berlaku peristiwa aneh yang mana kisah-kisah buli dahulunya telah membuatkan Ijan binggung kerana dia tersedar yang dirinya seolah-olah kembali ke situasi itu sekali lagi secara berulang-ulang. Ijan mengambil peluang itu untuk membetulkan kesilapannya yang menjadi punca pembulian terhadap Sopi yang akhirnya kematian Sopi. Kesemua sahabat dan guru yang melihat Ijan cuba membetulkan dan menghalang pembulian tersebut dari berlaku sangat merasa pelik dan mempersoalkan tindakkan Ijan yang berbeza dari apa yang pernah dan sepatutnya dia lakukan dulu, iaitu membiarkan dan mendiamkan diri dari terlibat dari kes pembulian sehingga menyebabkan kematian Sopi itu.

Teater Asrama-RA: Dorm Putra ACT II bakal dipentaskan pada 26 – 30 Oktober di PJ Live Arts dan tiket berharga RM85 (Zon Cinta), RM75 (Zon Kaseh) dan RM65 (Zon Sayang) boleh didapati di laman web www.revolutionstage.com.