December 6, 2024

KUALA LUMPUR : Penyanyi tersohor negara Datuk Jamal Abdillah meletakkan syarat untuk usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri sekiranya dia menerima pelawaan menyanyi secara duet dengannya.

Kata Raja Pop itu, sesiapa yang berhasrat mahu berpadu suara dengannya harus menyanyi sepenuh hati selain tidak sumbang.

Ditanya berkenaan pelawaan usahawan tersebut, Jamal berkata, “Mungkin kalau direalisasikan, syarat utama saya adalah dia kena menyanyi dengan serius dan tidak sumbang sebab kita pun akan sakit telinga. Jadi orang tidak menyalahkan saya.”

Jamal juga menganggap ianya sebagai satu penghormatan buat dirinya dan dapat mengikuti ‘trend’ semasa untuk terus kekal relevan.

Jamal Abdillah bersama isterinya di majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty

Beliau ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty di ibu negara petang kelmarin.

Sementara itu, Jamal, 63, memilih untuk menjadi rakan bisnes kepada Zarania Beauty memandangkan syarikat itu memiliki reputasi tinggi apabila mempunyai pengalaman dalam memasarkan produk jenama Natasya yang mampu bertahan di pasaran sehingga lebih 15 tahun.

Jelas bapa kepada lima anak itu, idea kerjasama itu tercetus apabila dia melihat hobi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin yang gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa serta minat berniaga.

“Jadi saya jalin kerjasama dengan Zarania Beauty sebagai hadiah kepada beliau dan juga kepada peminat-peminat saya.

“Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang kosmetik.

“Tapi saya percaya produk ini boleh pergi jauh dan mungkin ini permulaan dalam bidang ini dan kalau ada rezeki, kami akan keluarkan pelbagai produk kosmetik lain.” Katanya.

Ketika ini, sebanyak sembilan produk telah berada di pasaran dengan harga mampu milik yang bermula serendah RM25 hingga RM49. Malah sebagai penghargaan kepada lagu popularnya, set Azura turut diperkenalkan dengan menawarkan harga pakej lebih jimat di mana pembeli berpeluang untuk menang pelbagai hadiah menarik.

Keistimewaan produk Zarania Beauty ini, apabila semua rangkai produknya dihasilkan oleh kilang tempatan yang memiliki sijil bertauliah oleh Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam majlis pelancaran tersebut, Aliff bersama isteri turut hadir selain selebriti terkenal, Azwan Ali bagi memeriahkan majlis.

Jamal ketika merasmikan majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty

Mengenai pandangannya terhadap trend usahawan merakamkan lagu, kata Jamal, semua pihak perlu berlapang dada memandangkan ia hanya sebahagian daripada strategi perniagaan.

“Kita jangan pandang mereka ini sebagai penyanyi, sebaliknya kita anggap mereka ini mencari satu mekanisme untuk perniagaan mereka terus bertahan dan perkara ini tidak menjadi masaalah.

“Orang pun boleh menilai sama ada dia menyanyi secara serius atau sekadar mencari publisiti bagi keperluan bisnes yang diusahakannya,”Katanya.

Terdahulu, Aliff yang dikecam susulan kontroversi muzik video terbarunya bersama Baby Shima menyatakan hasrat mahu berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk Jamal. Dia juga mendakwa dirinya sebagai penyanyi nombor satu Malaysia kerana lagu-lagunya sentiasa trending setiap kali dimuat naik di laman YouTube.