February 11, 2025

KUALA LUMPUR – Saban hari semakin ramai bintang berbakat yang lahir di tanah air. Malah ramai yang mengambil keputusan untuk menyertai industri seni suara tempatan. Terbaharu, seorang lagi bintang berbakat besar kelahiran Bumi Kenyalang tampil dengan caranya tersendiri. Diberi nama Joanne Duke, gadis jelita yang berasal dari kota Kuching, di Sarawak ini sebenarnya pernah merakam dan mengeluarkan sebuah lagu berjudul Cinta Tidak Buta tidak berapa lama sebelum ini. Dan kini, Joanne muncul lagi dengan sebuah karya baharu berjudul ‘Tek Tik Kotor’, di bawah naungan syarikat rakaman Sony Music Entertainment. 

“Lagu ini sebenarnya ditujukan khas buat para jejaka ‘sweet talker’ atau bermulut manis dan suka mempermainkan perasaan wanita. Ia juga memberi pesanan kepada gadis-gadis di luar sana untuk menjaga diri dan maruah. Terutama gadis-gadis yang baru mengenali dunia. Apatah lagi kalau berkenalan melalui media sosial. Jangan mudah percaya jika lelaki yang baru kita kenali memanggil kita dengan gelaran ‘Sayang’, ‘Baby’ dan sebagainya. Ini kerana, dari situ sahaja kita sudah nampak bahawa mereka mungkin akan mempermainkan kita. Ambil masa yang secukupnya untuk mengenali seseorang agar hati kita tidak disakiti,” pesan Joanne sambil menjelaskan maksud di sebalik lagu terbaharunya ini. Saat ditanya tentang proses rakaman lagu pula, Joanne menyatakan bahawa ada sedikit kesulitan. 

“Agak susah juga untuk mengeluarkan suara yang bernada sedikit mengghairahkan atau ‘sexy’ kerana perwatakan saya yang agak pemalu. Saya juga biasanya mengambil masa untuk rasa selesa dengan orang yang baru dikenali. Tapi semuanya berjalan lancar. Saya sangat berterima kasih kepada para pencipta dan penulis lagu iaitu kumpulan Klangit dan juga produser lagu ini, saudara Koh Kok Boon kerana telah menghasilkan lagu ini dengan baik,” tambah Joanne lagi.  

Joanne yang masih baru dalam arena muzik tempatan juga berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua pihak. “Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi media sosial seperti TikTok dan juga Instagram,” harapan Joanne menutup bicara.

‘Tek Tik Kotor’ telahpun dikeluarkan pada 31 Mei lalu dan boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. 

Joanne Duke – Tek Tik Kotor (Official Visualiser)