Joe Flizzow melengkapkan barisan artis Divas & Diamonds 2024

KUALA LUMPUR – Mega Eve Sdn Bhd selaku penganjur yang bertanggungjawab merialisasikan konsert Divas & Diamonds 2024 mengumumkan penyanyi hip hop terkenal tanah air, Joe Flizzow bagi melengkapkan barisan artis dalam menjayakan konsert bersama Dato’ Sri Rossa, Dayang Nurfaizah dan Dato’ Jamal Abdillah pada 7 September 2024 di Arena Larkin, Johor Bahru bermula jam 8 malam. Pengumuman telah dibuat pada sidang media konsert Divas & Diamonds 2024 hari ini di Royal Lake Club, Tasik Perdana, di sini.

Sebelum itu, sidang media pertama konsert Divas & Diamonds 2024 telah diadakan pada 27 Mei lalu dan pihak Mega Eve Sdn Bhd telah menampilkan Dato’ Sri Rossa, Dayang Nurfaizah dan Dato’ Jamal Abdillah namun pihak penganjur telah merahsiakan seorang lagi superstar yang bakal bersama di konsert tersebut sehinggalah mereka membuat kejutan di sidang media pada hari ini. Bersama Joe Flizzow untuk meraikan majlis ini ialah Dato’ Jamal Abdillah yang tidak dapat hadir semasa majlis pelancaran pada bulan Mei yang lepas. 

Dengan lengkapnya barisan bintang yang penuh menyinar, peminat di Johor Bahru boleh menjangkakan malam yang meriah dengan persembahan menakjubkan yang ditenun dengan pentas, bunyi dan lampu yang inovatif.

Konsert Divas & Diamonds 2024 bakal menampilkan lagu-lagu dari kegemaran sepanjang masa hingga single hit terkini oleh kesemua barisan artis yang akan terlibat nanti. Adakah bintang hebat ini akan berduet memandangkan bakat luar biasa di atas pentas semasa konsert? Encik Aman Ali, selaku Ketua Project Mega Eve Sdn Bhd berkata kita perlu tunggu dan lihat. Apa yang pasti dapat dijangkakan oleh peminat adalah malam keseronokan dan persembahan yang menarik.

“Saya sangat teruja kerana dapat sepentas bersama Joe Flizzow, dia pasti akan buat havoc atas pentas tetapi saya akan buat orang sedih lah! Ini juga kali kedua saya bekerja sama dengan Genervie (pengarah muzik) dan dia seorang pemuzik dan arrangger yang bagus, pernah dia arrange lagu saya jadi lagu lain tapi memang menarik.” Ujar Jamal.

Dalam pada itu, ini adalah kali pertama Joe Flizzow mengadakan persembahan di Arena Larkin dan ini adalah satu perhormatan buat dirinya kerana mewakili genre hip hop dalam satu persembahan yang dibarisi oleh artis-artis terkemuka.

“Saya lebih teruja apabila dapat mengadakan persembahan bersama bintang-bintang ternama seperti Jamal Abdillah dan juga saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih saya. Untuk hiphop, live performance benar-benar akan membawa keseronokan kepada saya bersama peminat-peminat saya. Saya pasti rakan-rakan artis yang saya hormati di konsert ini akan memberi persembahan-persembahan yang hebat dan akan menjadi sebuah konsert yang sangat istimewa, Insya Allah.” Jelas Joe lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali, berhasrat untuk menyumbangkan lima peratus dari jualan tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Dr Farhan juga berkata Mega Eve akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin sambil melaksanakan pelbagai acara pada masa akan datang.

Dr Farhan Razali dan Encik Aman Ali

“Lima peratus daripada hasil tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di Gaza dan kami amat berharap semua peminat di Johor Bahru akan turut serta dan menyokong konsert kami ini.” Katanya.

Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal diadakan pada 7 September 2024, bertempat di Arena Larkin, Johor Bahru bermula jam 8 malam akan menampilkan Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow. Harga tiket bermula dari RM288 hingga RM888. Untuk membeli tiket dan segala pertanyaan, sila layari www.ticket2U.com.

Divas & Diamonds 2024 – Dato’ Sri Rossa, Dayang Nurfaizah, Dato’ Jamal Abdillah dan Joe Flizzow