April 17, 2024

KUALA LUMPUR – Enam finalis diumum layak ke Peringkat Akhir Bintang RTM 2024 (BRTM2024) yang bakal berlangsung pada 24 Februari ini. Mereka ialah Roxy Ixzy, Eylia Guntabid, Dhania, Hady Huv, Feka dan Joy. 

Pengumuman ini menyaksikan perjuangan dua peserta iaitu Scha Nuril membawakan lagu Semalam nyanyian Aina Abdul memperoleh markah 68.5 peratus dan Shah Rezza menyanyikan lagu Rumah Singgah (61.8 peratus) terhenti pada peringkat separuh akhir BRTM 2024, Sabtu lalu.

Pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri Seri Angkasa, Kota Media itu, peserta dari Sarawak, Roxy yang mempertaruhkan lagu I See Red nyanyian Everybody Loves an Outlaw berjaya mengungguli tempat pertama dengan 90 markah. Diikuti Hady menyanyikan lagu Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Dhania lagu Emas nyanyian asal Nadeera berkongsi markah sama 86.1 peratus. 

Sementara itu Eylia Guntabid memperolehi markah 83.9 peratus menyampaikan lagu bertajuk Astana (Ernie Zakri), Joy dengan lagu Rindunya Rindu mengutip markah 71.2 peratus dan Feka lagu Bukan Dia Tapi Aku mendapat markah 69.4 peratus. 

Dihoskan Awal Ashaari, saingan peringkat separuh akhir diadili juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan LY manakala Liza Hanim dan Noraniza Idris sebagai juri jemputan.

Bagi kategori Anugerah Juri Jemputan, Roxy Ixzy diumumkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang RM1,000 serta pakej tajaan spa. Peringkat separuh akhir ini menyaksikan kemenangan ketiga Roxy selepas berjaya mempamerkan persembahan terbaik sepanjang enam minggu BRTM2024 bersiaran.

Juara BRTM2024 bakal membawa pulang wang tunai RM78,000 beserta sebuah kereta Proton Iriz, naib juara (RM35,000), tempat ketiga (RM20,000) manakala tempat keempat hingga keenam memenangi RM5,000.

Konsert Akhir Bintang RTM 2024 berlangsung pada 24 Februari depan, pukul 9.00 malam di TV2 dan secara dalam talian melalui RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). Kesemua enam peserta bakal mempertaruhkan lagu pilihan masing-masing bagi merebut gelaran juara BRTM 2024.

Berikut disenaraikan lagu-lagu tugasan solo peringkat Akhir BRTM 2024: 

  1. Eylia Guntabid – Stand Up (Cynthia Erivo) 
  2. Feka – Jeritan Batinku (Tan Sri P.Ramlee)
  3. Hady Huv – Ku Dengannya Kau Dengan Dia (Afgan)
  4. Roxy Ixzy – A Woman’ Worth (Alicia Keys) 
  5. Dhania – Ain’t Nobody (Chaka Khan)
  6. Joy – Jika Kau Rasa Getarnya (Slam)

*Keputusan markah akan diumumkan selepas konsert berlangsung. Maklumat lengkap boleh layari rtmklik.rtm.gov.my