KUALA LUMPUR – Nama figura pelakon Korea Park Min Young dan Seo Kang Joon pastinya sudah tak asing lagi bagi pecinta K-Drama. Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama siri bertajuk “When The Weather Is Fine” yang menyatukan keduanya sebagai watak utama.
Ikuti kisah tentang kemaafan, penyembuhan dan cinta yang berlaku di sekitar kedai buku kecil di luar bandar ini yang turut dibintangi oleh Lee Jae-wook, Kim Young-dae, dan Yang Hye-ji dan ramai lagi.

Telah pun mula menemui penonton sejak 4 September lalu, setiap Rabu dan Khamis, pukul 8.00 malam mengisi slot Sarangheyo On 2 di TV2.
Latar ceritanya bermula dengan mengetengahkan watak Mok Hye Won yang kehilangan pekerjaannya sebagai pelatih Cello. Kejadian buruk yang menimpa Mok Hye Won selama beberapa bulan terakhir membuatnya kembali ke kampung halamannya.
Desa Bookhyun diharapkan dapat menenangkan kemelut perasaan Mok Hye Won kerana impian yang sering diharapkan bila menjejak kaki ke bandar Seoul seolah telah lenyap dalam waktu yang singkat.
Sementara itu, Mok Hye Won mempunyai sahabat sejak zaman kecil bernama Im Eun Seob. Kepulangan Mok Hye Won membuat Im Eun Seob mengenang keakraban mereka yang pernah tak terpisah.

Kenangan lama kembali berulang mengenangkan masa-masa indah menghabiskan waktu bersama di dalam maupun luar sekolah. Namun berlaku kejadian dimana Mok Hye Won menyimpan perasaan marah dan tidak puas hati kepada Im Eun Seob ketika mereka berada di sekolah menengah.
Sejak saat itu, keduanya saling menjauhkan diri dan saling tidak bertegur sapa. Namun hakikatnya Mok Hye Won ternyata menyukai Im Eun Seob. Lalu apakah kesudahan drama ini. Ikuti kesudahannya di TV2.