December 4, 2024

KUALA LUMPUR, 29 November 2024 – Filem paling dinanti-nantikan tahun ini, Kahar: Kapla High Council, mencipta sejarah apabila berjaya meraih kutipan RM1 juta pada tayangan awal dan hari pertama tayangan.

Menampilkan Amir Ahnaf sebagai Kahar bersama gandingan hebat seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Khenobu, Thompson, Husyairi Hussain, dan Hasnul Rahmat, filem ini mendapat pujian meluas daripada penonton atas keberkesanan membawa watak-watak tersebut ke layar perak.

Di media sosial, ramai penonton menyatakan filem ini berjaya menyampaikan perjalanan emosi dan konflik yang mendalam. Antara komen menarik termasuk:

• “Just watched Kahar: Kapla High Council and I have to say, the story was actually amazing! Applause to Amir Ahnaf and the entire cast!” – @cheeseretard

• “What a prequel/sequel for High Council series. Lain macam filem ni, camera work dengan cinematography lawa gila. Walau 1h42min je tapi padat dengan story yang menarik. Lakonan pun memang top. Dapat closure untuk character Kahar.” – @hzlmy14

• “KAHAR: Kapla High Council terbaik. Congrats Razaisyam on your neverending achievement. 10/10” – @ViolaAstorre

Filem arahan Razaisyam Rashid ini juga menduduki tangga pertama dalam carta Top 10 GSC, mengatasi filem-filem antarabangsa. Ditulis oleh Anwari Ashraf bersama pasukan penulis, Kahar: Kapla High Council mula ditayangkan di pawagam pada 27 November dengan tayangan rasmi pada 28 November.

Menurut Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kejayaan awal ini sangat membanggakan.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penonton yang telah menonton filem Kahar: Kapla High Council. Watak Kahar sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton. Bagi kami, Kahar bukan sekadar watak, tetapi simbol kepada mesej anti keganasan. Kami berharap momentum positif ini berterusan, sekali gus mencipta kejayaan luar biasa,” katanya.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment, dan ZAK Capital, filem berdurasi 102 minit ini mengangkat isu buli di kalangan remaja serta kepentingan institusi kekeluargaan dalam membentuk peribadi seseorang. Ia juga menyampaikan mesej bahawa kekerasan bukanlah jalan penyelesaian.

Sinopsis

Filem ini mengisahkan Kahar, seorang pelajar Tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Kahar, seorang yang pendiam, berdepan tekanan besar apabila bapanya, Dato’ Abu Yamin, meletakkan harapan tinggi terhadapnya. Keadaan semakin rumit apabila Kahar secara tidak sengaja terlibat dalam pemilihan ketua tidak rasmi seluruh badan pelajar. Kemenangannya membuatkan dia alpa dengan kuasanya hingga mengabaikan nilai sebenar kepimpinan.

Peminat juga berpeluang bertemu barisan pelakon dalam siri jelajah Kahar: Kapla High Council:

• 29, 30 November & 1 Disember: Kedah, Penang, Perak

• 6, 7, 8 Disember: Negeri Sembilan, Johor, Melaka

• 13, 14, 15 Disember: Terengganu, Pahang

Jangan lepaskan peluang menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan!