“Kalau mangsa dia ahli keluarga saya, confirm kena sepak terajang dengan saya” – HARIEYANTO HASSAN

Pelakon senior Harieyanto Hassan yang popular dengan drama Kampung People, Saat Aku Berpaling dan banyak lagi siri drama dan filem tempatan yang beliau bintangi, kini kembali dengan drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan sebuah naskhah asal yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta. Drama 30 episod arahan Ejump Mohd ini turut menampilkan David Teo selaku Penerbit. 

Kisah ‘Derita Untuk Bahagia’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 Jun 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. 

Harieyanto Hassan  membawakan watak Fauzi dalam drama bertajuk Derita Untuk Bahagia. Seorang kaki pukul, dayus dan penagih dadah. 

Temu bual bersama Harieyanto Hassan

Wartawan: Pengalaman berlakon dan explore watak Fauzi dalam Derita Untuk Bahagia.

Harieyanto: Saya explore setelah membaca skrip. Awalnya watak ini tidak berapa jelas tetapi nampak dari dialog yang Fauzi merupakan seorang yang dayus dan loser. Dalam skrip tiada tapi saya yang jadikan serta bawakan watak dia sebagai penagih dadah, kaki judi dan kaki pukul. Saya ciptakan dan imaginasikan sendiri, setelah bincang dengan pengarah.

Wartawan: Scene memukul isteri, apa yang paling sukar bagi Haeriyanto?

Harieyanto: Saya tidak suka scene pukul isteri. Sebab saya ini lelaki, tangan kasar, kadang terkena, sakit juga. Kalau penonton perasan  kalau adegan pukul isteri, tangan saya nampak lembut. Saya sengaja lembutkan, takut terkena betul-betul pada rakan lakon saya. Kalau kena confirm berbisa.

Wartawan: Watak Fauzi ni, kalau Haeriyanto jumpa orang macam ni di luar sana, ada rasa nak sepak tak?

Harieyanto: Kalau saya jumpa Fauzi…kalau saya tahu mangsa dia ahli keluarga saya, memang confirm kena sepak terajang dengan saya. (ketawa)

Wartawan: Harapan pada penonton yang mengikuti drama ‘Derita Untuk Bahagia ini’?

Harieyanto: Harapan pada penonton agar mencontohi watak-watak positif dalam drama ini iaitu mereka yang mempamerkan karakter tidak mudah berputus asa, sentiasa berusaha dan berdoa. Dan untuk watak-watak negatif seperti penipu, pengikis duit orang dan yang penuh hasad dengki, jadikan pengajaran. 

Wartawan: Suka ke berlakon watak ‘wife beater’?

Harieyanto: Suka juga. Saya tak suka watak yang  bosan dan untuk karakter Fauzi, saya boleh create yang dia merupakan seorang yang dayus dan hipokrit. Saya suka watak Fauzi ni.

Wartawan: Pernah tak ditegur atau dimarah di luar kerana membawa watak-watak antagonis?

Harieyanto: Ditegur ya tetapi dimarah tak pernah. Tegur gurau-gurau memang adalah. Marah tiada.

Wartawan: Secara semulajadi, Heryanto ini orang yang bagaimana?

Harieyanto: Saya orangnya yang ‘homely type of person’, suka duduk rumah, berkebun, memasak dan suka duduk di rumah dengan famili. Dan saya tak banyak cakap. 

Wartawan: Watak apa yang mahu dibawakan lagi selepas ini?

Harieyanto: Saya tidak kisah tetapi saya secara peribadi suka watak orang yang nampak jahat tapi sebenarnya dia baik. Orang yang mencari diri sendiri atau ditindas tapi penyabar dan banyak berserah pada Allah. 

Wartawan: Pengalaman manis di set ‘Derita Untuk Bahagia’.

Harieyanto: Kesemuanya manis sebab pengarahnya, Ejump, saya pernah bekerjasama. Saya suka orang yang menghargai bakat. Para pelakon baru juga semua jenis yang tahu hormatkan orang. Seronok. Kalau dapat berlakon lagi, saya nak bekerjasama dengan pasukan yang sama.

Wartawan: Apa aktiviti sepanjang PKP?

Harieyanto: Duduk rumah, berkebun, memasak, banyak tengok telefon dan membaca. Pukul 10 malam, saya lepak dengan jiran depan rumah.

Wartawan: Tips untuk lelaki di luar sana melayan isteri terutama masa PKP.

Harieyanto: Tolong-tolonglah isteri memasak atau kemas rumah. Tetapi kalau sudah PKP, laki bini banyak tengok muka masing-masing, memang akan ada angin dia. Jadi bawalah keluar jalan-jalan dekat kawasan taman rumah, pusing-pusing taman.

Disebalik tabir drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’
Disebalik tabir drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’