Kastam Selangor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan besi

KLANG, 6 OGOS 2021 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya mematahkan satu sindiket yang terlibat di dalam penyeludupan besi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang. Rampasan membabitkan 57 buah kontena dengan nilai termasuk duti/cukai dianggarkan sebanyak RM 9.65 juta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Sri Abdul Latif Bin Abdul Kadir, “sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) melakukan tindakan Operasi WAJA, telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup besi yang memerlukan Permit Import yang dikenakan Duti Import dan Duti Anti – Lambakan.

“Semakan Borang Kastam 1 mendapati kontena tersebut telah diikrar sebagai Nickel Steel Plate in Coil’ dan ‘Hot Rolled Stainless Steel Coils’ tanpa perlu mengemukakan Permit Import bagi mengelakkan Duti Import dan Duti Anti-Lambakan serta dari dikesan oleh pihak JKDM.

“Besi diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Keempat / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 6.111 juta dengan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM 3.539 juta. Pengimport dan ejen Kastam yang terlibat di dalam cubaan menyeludup keluar kontena ini sedang disiasat.” Jelas Abdul Latif dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Antara besi yang dirampas oleh pihak kastam
Pihak kastam memeriksa besi yang dirampas

Pihak JKDM menyiasat kes ini di bawah Akta Kastam 1967 iaitu Cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika didapati bersalah, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman untuk kesalahan pertama, denda tidak kurang dari sepuluh (10) kali nilai barang atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh (20) kali nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya, denda tidak kurang dari dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM200,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari empat puluh (40) kali ganda nilai barang atau RM1,000,000.00 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan agar menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau lapor terus ke Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.