KLANG : Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit II (Selangor) telah berjaya menggagalkan aktiviti-aktiviti sindiket penyeludupan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, yang melibatkan aktiviti penyeludupan minuman keras dan organ haiwan sejuk beku.
Dalam kes pertama Pada 11 Mac 2022, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras yang membabitkan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. Hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan oleh pihak kastam mendapati kontena tersebut dipenuhi dengan muatan minuman keras.
Sebuah kontena telah ditahan dengan muatan minuman keras dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 13,824 liter. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 82,944.00 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM 217,382.40. Pihak kastam masih lagi menjalani siasatan ke atas pengimport dan agen perkapalan tersebut.
Dalam kes kedua pada 23 Mac dan 25 Mac 2022, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup organ haiwan sejuk beku yang membabitkan empat buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan oleh pihak kastam telah mendapati kontena-kontena tersebut telah diisi dengan muatan frozen fish skin dan frozen beef bone.
Empat buah kontena telah ditahan dengan muatan organ haiwan sejuk beku ini dipercayai merupakan barang larangan dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 97,000 KGM. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 861,400. Pihak kastam telah menahan seorang lelaki warganegara tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.



Dalam kes ketiga pada 28 Mac yang lalu, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) telah membuat serbuan ke atas sebuah premis yang tidak berpenghuni di kawasan Klang, Selangor.
Hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan oleh pihak kastam mendapati premis tersebut menyimpan minuman keras yang disyaki barang larangan.
Pihak kastam memberitahu bahawa pemilik premis dan dagangan tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 8,394.89 liter. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 407,891.80 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM 444,762.91.
Dalam kes keempat pada 30 Mac yang lalu, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) telah membuat serbuan ke atas sebuah Gudang PNP, Lot C7, Jalan FZ4- P3, PKFZ. Hasil pemeriksaan fizikal yang telah dijalankan mendapati premis tersebut menyimpan minuman keras yang disyaki barang larangan.
Dalam kejadian tersebut, pemilik premis dan dagangan ditahan bagi membantu siasatan dan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 7,887 liter. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 361,986.00 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM 1,040,538.90.
Kesemua kes yang ditahan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit II (Selangor) dipercayai merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.


