May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan peribadinya tahun lalu hasil kerjasama dengan bintang Korea Su Jin menerusi lagu ‘Going Crazy Wild’, bintang asal Malaysia yang sedang mencipta nama, Kat  Roshan kembali dengan sebuah lagi buah tangan muzikal untuk peminatnya.

Kali ini, Kat melancarkan balada indah berjudul ‘Cinta Putih’ yang ditulis oleh komposer dan penerbit terkenal Indonesia, Chossy Pratama. “Saya bekerja dengan beliau buat pertama kali pada usia 13 tahun dahulu. Beliau telah berbesar hati menyusun semula lagu, ‘Rasa’ untuk saya yang menjadi karya pertama saya pada 2019. Lagu dan liriknya menggerakkan banyak emosi dalam diri saya sama seperti lagu baharu ini , ‘Cinta Putih’,” ujar Kat Roshan.

‘Cinta Putih’ sebenarnya membawa erti ‘cinta yang murni dan masih suci’.

“Bagaimanapun, Pak Chossy berkata saya bebas mentafsir lagu balada itu mengikut perasaan saya dan emosi itu akan terserlah apabila menyanyikannya. Semasa saya merakamkan demo itu, saya terharu dengan melodi dan liriknya. Saya berasa dihargai kerana terdapat begitu banyak cinta yang mengelilingi saya dan saya menyedari betapa banyak cinta juga yang ada dalam diri saya,” jelasnya.

Menurut Kat Roshan, Pak Chossy pada dasarnya telah mengambil gaya penulisannya dan memasukkannya ke dalam “Cinta Putih”. “Pada mulanya, beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak mempunyai lirik mahupun konsep untuk ditulis. Walau bagaimanapun, beliau mendapat sentuhan ilham dari salah satu lagu Inggeris saya sebelum ini, “Oasis”, yang pernah beliau terbitkan untuk saya juga. Dalam video muzik Oasis, saya memakai pakaian berwarna-warni dan itu memberi inspirasi kepada beliau untuk menulis lagu tentang sesuatu yang bertentangan dan hasilnya adalah warna putih bersih!

“Saya berterima kasih kepada Pak Chossy kerana sanggup meredah perjalanan yang sukar dari Dili di Timor Timur, kemudian transit di Jakarta dan akhirnya tiba di KL untuk mengarahkan saya semasa rakaman ‘Cinta Putih’ dan sebuah lagi lagu iaitu, “I Believe” yang saya harap akan dikeluarkan pada bahagian kedua tahun ini,” tambah Kat Roshan.

Pak Chossy yang menginjak usia 73 pada tahun ini turut membawa anak perempuannya yang berbakat, Aubrey yang juga penulis kuartet string untuk lagu ini.

“Seorang lagi mentor saya iaitu, Encik Ong Peng Chu, yang merupakan salah seorang kawan lama Pak Chossy dalam industri muzik turut hadir memberi sokongan. Kami merakam lagu ini di Starmount Studios, di bawah penerbitan Encik Alex Lee yang studionya merupakan tempat saya merakam ‘Rasa’ dan beberapa lagu lain. Video lirik dan muzik pula dihasilkan oleh Nor Mikhail, yang juga merupakan salah seorang pelakon dalam video muzik terdahulu saya iaitu, “One Day From Today”. Mikhail sangat komprehensif dalam penghasilan gaya visual lagu dan hala tuju produk akhir yang anda lihat,” kata Kat Roshan.

Kat Roshan berharap pendengar akan terharu dengan emosi cinta yang kuat dalam lagu ini dan dapat menyalurkan rasa positif ini dalam kehidupan seharian mereka. Ini juga merupakan lagu berbahasa Malaysia keduanya dan berharap pendengar akan menikmatinya.

Cinta Putih boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 16 April lalu, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

katrina.roshan – Cinta Putih (Official Music Video)