May 23, 2024

Bermula dengan menyatukan dua nama popular Indonesia, Nidji dan Budi Doremi di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu, Dream Festival Collaboration terus mengukuhkan jenamanya di Malaysia apabila membariskan pelbagai siri konsert mini yang bakal mengujakan pencinta muzik.

Usai meraih sukses menerusi Dream Festival Collaboration Vol. 1 yang turut menampilkan penyanyi berbakat besar dari Malaysia, Aisha Retno, siri kedua festival muzik yang dinanti-nanti ramai itu bakal menampilkan pula kumpulan popular, Wali Band.

Turut mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur, Wali Band bakal menghangatkan pentas dengan himpunan lagu popular mereka dalam rangka persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 pada 20 Mei depan.

Pengarah Projek DreamFestWorld, Rama Ananda Ambri berkata, Dream Festival bermula di Jakarta, Indonesia, tahun lalu sebagai memenuhi impian pemuzik untuk meraikan kebebasan dalam berekspresi selepas aktiviti seni tertunda gara-gara pandemik Covid-19.

Pengarah Projek DreamFestWorld, Rama Ananda Ambri

“Sehingga kini, siri Dream Festival sudah dipentaskan sebanyak 11 kali di Indonesia menampilkan persembahan daripada nama terkenal seperti Rossa, Afgan, Lyodra, Nidji, D’masiv, The Changcuters, Rizky Febian, Kahitna dan Project Pop.

“Kejayaan yang dilakar menerusi siri persembahan di kota besar seperti Jakarta dan Bandung memberi kami inspirasi untuk turut menyapa peminat muzik di Malaysia.

“Justeru, kami membawakan Dream Festival ke Kuala Lumpur dengan mengangkat tema kolaborasi yang menyaksikan kehebatan gandingan nama popular dan berpotensi besar dari dua negara beraksi di atas satu pentas,” katanya.

Rama Ananda atau mesra disapa Anda berkata, pemilihan Wali Band sangat bertepatan, susulan kejayaan persembahan mereka di Singapura, baru-baru ini yang mendapat sambutan luar biasa.

Wali Band

Katanya, Wali Band juga masih memiliki kelompok penggemar yang utuh, membuatkan mereka enggan bertangguh untuk menampilkan kumpulan yang popular dengan lagu seperti Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu itu di Kuala Lumpur.

“Selepas 24 tahun berkarya, populariti Wali Band terus ampuh dan tentunya peluang ini dinanti-nantikan semua, terutama bagi peminat yang merindui kemunculan terbaru mereka di sini.

“Wali Band memiliki  kelompok penggemar yang sangat besar kerana lagu yang dibawakan mereka menitipkan pelbagai nasihat untuk dijadikan teladan, terutama bagi generasi muda.

“Justeru, Dream Collaboration Vol.2 berbangga dapat membawakan mereka untuk menghiburkan para pencinta muzik di Malaysia,” katanya.

Wali Band

Wali Band yang sebelum ini dikenali sebagai Fiera dianggotai empat tonggak utama iaitu Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (vokalis), Aan Kurnia (Apoy/gitaris),  Ihsan Bustomi (Tomi/dram) dan Hamzah Shopi (Ovie /keyboard).

Kumpulan yang memperjuangkan muzik Pop Melayu ini terlebih dahulu beraksi di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, Singapura menerusi konsert Wali Cari Jodoh Live In Singapore, 25 Februari lalu.

Memulakan karier seni pada 1999, populariti Wali Band membawa mereka mengembara ke rantau Asia, termasuk Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong untuk mengetengahkan muzik mereka.

Berkongsi lanjut,  Anda berkata, selepas Wali Band, siri Dream Festival Collaboration akan terus disemarakkan dengan kemunculan beberapa nama besar lain seperti band rock tersohor Indonesia, Jamrud yang bakal beraksi di lokasi sama pada 23 Jun 2023, disusuli penyanyi wanita unggul, Rossa dan beberapa nama popular lain yang bakal diumumkan kelak.

“Ini adalah masa terbaik untuk pencinta muzik meraikan karya hebat pemuzik serantau. Kami berharap inisiatif yang digerakkan Inspire. IDN dapat meninggalkan memori indah, sekali gus memberikan apresiasi terhadap usaha pengkarya seni kedua-dua negara menerusi perkongsian idea dan persembahan,” katanya.

Jamrud

Tiket untuk menyaksikan persembahan Wali Band dan Jamrud boleh ditempah serentak menerusi laman: ticket2u.com.my bermula esok, 22 Mac jam 11 pagi.

Untuk Wali Band, tiket dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box), manakala Jamrud, tiket dijual bermula RM138 (Festival), RM199 (Kategori 2) dan RM258 (Kategori 1).

“Sebagai tanda penghargaan, peminat Wali Band berpeluang mendapatkan tiket RM198 pada harga diskaun 50 peratus dengan menyertai Dreamers Club Telegraph. Tawaran istimewa ini bagaimanapun, terhad.

“Layari laman Instagram: @dreamfestworld dan ikuti beberapa langkah untuk mendaftar sebagai ahli kelab Dreamers bagi mendapatkan pelbagai promosi menarik serta perkembangan terkini acara anjuran DreamFest di Malaysia serta Indonesia,” katanya.