March 21, 2025

Konsert Datuk Jamal Abdillah yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) 26 November lalu, membuktikan beliau adalah seorang penghibur lagenda yang masih diminati semua golongan dari pelbagai usia termasuk yang datang dari Borneo dan Singapura. Diusia 64 tahun, Jamal tetap bertenaga menghiburkan penonton dengan rangkaian 21 buah lagu popular termasuk secara medley di dalam konsert berdurasi kira-kira tiga jam itu.

Muncul sekitar jam 9 malam, Jamal Abdillah mula menghangatkan dewan konsert bersama seleksi lagu-lagu hit seperti Kenangan Tak Bisa Di Lenyapkan, Kau Lupa Janji serta lagu yang dinyanyikan secara madley, Kabus Di Wajahmu / Senandung Kasih / Kerlingan dan Berdendang Dalam Tangisan / Cendrawasih. Lagu yang diperdengarkan sebagai mukadimah konsert ini pastinya mempunyai kenangan serta kisah tersendiri buat peminat Jamal yang menyaksikan konsert paling dinanti-nantikan oleh 1,800 penonton.

Kehadiran peminat berusia 70 tahun, Rohani Abdullah, antara yang mencuri tumpuan penonton. Dia yang berasal dari Terengganu datang bersama cucunya yang merupakan peminat tegar Jamal Abdillah bagi menyaksikan Konsert Jamal Abdillah Live In Concert yang dianjurkan oleh Shiraz Projects.

Jamal terharu dengan sokongan yang diberikan oleh Rohani yang secara kebetulan bertemunya di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur, baru-baru ini. Jamal juga ‘belanja’ tiket VIP kepada Rohani yang pertama kali dalam hidupnya pergi menonton konsert.

“Saya rasa macam nak menangis sebab boleh dapat tengok konsert. Umur saya sudah 70 tahun baru kali ini dalam seumur hidup dapat tengok konsert Datuk!” Kata Rohani sewaktu ditanya oleh Jamal.

Jamal meneruskan persembahan kali ini beliau bergandingan suara bersama Wani Hasrita menerusi lagu Kehebatan Cinta dan seterusnya Wani menyampaikan sebuah lagu secara solo menerusi Canggung. Rapper Mr. Faroq pula muncul menerusi lagu Aku Maafkan Kamu berduet bersama Jamal Abdillah.

Persembahan diteruskan menerusi lagu Azura yang mengembalikan nostalgia filem drama romantik Malaysia yang pernah ditayangkan pada tahun 1984 dan telah berjaya menaikkan nama Jamal Abdillah sebagai seorang pelakon yang popular. Sekali lagi penonton terpukau dengan kelunakan suara sang lejen ini menerusi lagu Seroja. Suara yang dianugerahkan tidak disia-siakannya malah bakatnya pernah dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 1979.

Penampilan istimewa 2 orang puteranya Yamani Abdillah dan Zaki Yamani mendendangkan beberapa buah lagu seperti Gadis Melayu, Aku Penghibur, Perjalanan Ku dan Terharu. Yamani juga membawa 2 buah lagu secara solo menerusi Gerhana dan Bunga Seroja. Seterusnya Jamal berduet bersama Yamani menerusi lagu Perjalananku dan Terharu.

Perjalanan Jamal selama 4 dekad dalam industri muzik tanah air, menjadikan beliau seorang penyanyi solo yang banyak mengeluarkan album studio. Dengan sistem bunyi yang jelas dan pencahayaan yang sangat baik, membuatkan penonton terpesona apabila Jamal mendendangkan lagu Di Sudut Kamar Hatiku, Kekasih Awal dan Akhir serta Di Penghujung Rindu untuk merawat kerinduan peminat terhadap Raja Pop ini.

Konsert Jamal Abdillah Live In Concert ini diiringi 15 pemuzik profesional dengan diketuai oleh Shahwal Hussin sebagai pengarah muzik telah menjadikan sebuah kenangan indah buat penonton yang telah disajikan dengan lantunan lagu-lagu malar segar. Sebelum berakhir konsert, Jamal mendendangkan lagu-lagu secara madley menerusi Ghazal Asmara / Ghazal Untuk Rabiah / Samrah Mentari antara salah satu segmen yang menonjolkan penggunaan alat muzik tabla dan malam berakhir dengan Seniman Menangis.

(Foto: Subky Hj Bebit & Shiraz Project)