December 6, 2024

KUALA LUMPUR – Drama kemasyarakatan yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) seringkali menjadi pilihan orang ramai yang gemarkan jalan cerita mengundang keinsafan dalam diri seseorang. Ditambah pula dengan lakonan mantap pelakon yang menjayakan watak air mata tersebut.

Terbaharu RTM berkongsi kisah drama bersiri “Zuriat Dari Penjara” mengaitkan dengan watak utama Shara, gadis kampung tinggal dengan keluarganya yang serba kekurangan. Situasi itu membuatkan Shara membesar menjadi anak yang suka memberontak dan membantah apa sahaja kata orang tuanya.

Masa berlalu dek kerana mahu mengecap kekayaan dalam masa yang singkat dengan cara yang mudah, Shara termakan umpan seorang lelaki yang mengupahnya menghantar barang. Rupa-rupanya barang tersebuat adalah dadah dan malangnya Shara telah ditangkap pihak polis. Ketika itu dia telah berkahwin dengan Zaman, lelaki yang dicintainya.

Kisahnya dilanjutkan dengan Zaman dan Erina diamanahkan menjaga zuriat dari penjara. Zuriat itu sebenarnya adalah dari isteri pertamanya Shara yang dipenjarakan kerana kesalahan mengedar dadah.

Rizky telah dilahirkan di penjara. Ketika Shara dimasukkan ke penjara, dia mengandung dua bulan. Zaman tidak mengetahui perkara tersebut.

Sementara itu Erina kecewa dengan Zaman kerana menipunya. Shara meninggal di penjara setelah jatuh sakit. Erina menghalau Zaman dan Rizky kerana Erina tidak dapat menerima Zaman menipunya.

26 episod drama arahan Sham JR. ini menemui penonton mulai 4 November ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 6.45 petang di TV1 atau boleh menontonnya menerusi RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).

Menampilkan lagu tema bertajuk ‘Sujud’ nyanyian Linda Rafar, ia dibintangi pelakon Wafariena Roslan sebagai Shara, Josiah Hogan (Zaman), Rasya Dean (Erina), Syed Aiman (Rijaluddin), Linda Rafar (Adelia), Danny Anwa (Amar) dan Mubarak Majid (Zakariyya). Turut membantu Aliza Rafar, Jesse Lim, Addam Roslan, Nuzul Harisyah dan Adik Ebrahim Danie.