December 5, 2023

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock yang baru ditubuhkan pada tahun 2021, MAX kini manarik nafas lega apabila penat lelah mereka dalam mengharungi pertempuran di medan muzik akhirnya berhasil apabila mereka melahirkan sebuah album studio berjudul Anugerah

Menurut pemain gitar kumpulan MAX, Mohd Redzuan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Oney, segala kejerihan mereka menghasilkan album ini berbaloi apabila karya mereka diterima oleh peminat.

“Lagu Anugerah diangkat untuk dijadikan tajuk album ini kerana MAX telah melalui liku-liku perjalanan yang jerih dalam setahun lebih dalam menghasilkan album. Maka dengan terhasilnya album ini ianya adalah satu anugerah buat MAX”, kata bekas penyanyi kumpulan MAY dan Lipan Bara ini.

Bagi ketua kumpulan MAX, Man atau nama sebenarnya Mohamad Saarip Yaakob menjelaskan walaupun Oney sebelum ini dikenali sebagai penyanyi tetapi dia lebih selesa berada di posisi gitar namun Oney juga telah menyumbangkan suaranya menerusi beberapa buah lagu yang terkandung dalam album Anugerah.

“Mulanya saya offer dia jadi pemain bes tapi dia lebih minat untuk bermain gitar, tentunya ramai peminat mengenali Oney ni sebagai penyanyi, jadi dalam album ini pun dia ada menyumbangkan suaranya seperti lagu Armani secara solo, Anugerah berduet bersama AG dan lagu saduran Hati Muda secara beramai-ramai”, ujar bekas pemain dram kumpulan May.

Selain Man kekal di posisi dram, Oney yang juga penerbit album sulung Max terbitan Rockstage Entertainment turut menampilkan AG (vokalis utama), Lan Taro (gitaris) dan juga Deen (bassis). Kesemua anggota MAX berpengalaman luas dalam bidang muzik dan pernah menganggotai kumpulan-kumpulan rock terkenal tanah air.

Album Anugerah dalam format digipak telah dirakamkan di Studio D’Akasia di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan ia adalah album kedua terbitan Talib Othman dan Rockstage Entertainment Sdn. Bhd. pada tahun ini. MAX juga menaruh harapan untuk lagu yang dijangkakan hit seperti Anugerah, Bulan Siang dan Redah yang mana kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan lirik yang sangat kuat.

Max yang memperjuang muzik heavy metal rock dan slow rock masih lagi mempertaruhkan Ahmad Fauzi Kamaruddin atau lebih selesa dipanggil AG sebagai vokalis utama MAX. AG pernah bersama MAY menggantikan penyanyi asalnya sebelum keluar mengikut jejak langkah Man bagi menubuhkan kumpulan MAX.

“Dengan MAX ni saya banyak belajar, saya juga menjadi diri saya sendiri dengan secara perlahan saya ubah dari segi gaya, penampilan dan cara nyanyian agar tidak dilabelkan sebagai meniru penyanyi asal MAY”, kata AG yang mempunyai teknik nyanyian dan ketinggian suaranya seperti Muss.

Menariknya, album Anugerah yang mengandungi 12 lagu dihasilkan sendiri oleh ahli kumpulan MAX dari penggubahan lagu, penulisan lirik, kerja-kerja rakaman studio hingga ke penghasilan reka bentuk kulit album.

“Selepas keluar dari kumpulan lama, saya lebih bebas untuk berkarya maksudnya kita boleh merancang sesuatu yang baharu walaupun jika dilihat muzik kita seperti dahulu tetapi ada perubahan dari segi permainan gitar, arragment muzik yang lebih segar dan bertenaga. Saya memang selesa bersama MAX dan hubungan saya dengan mereka semua ni dah macam adik-beradik”. Jelas Man.

Terdahulu, MAX yang dipendekkan dari perkataan Maksimum dengan membawa erti walau apa yang terjadi mereka tetap lakukan atau hadapi dengan sedaya upaya mendapat perhatian peminat setelah beraksi di beberapa buah persembahan pentas antaranya di Pahang Royale Fiesta pada 29 julai yang lalu.