September 10, 2024

Oleh: Zizi Hashim

Naratif kewibawaan wanita merupakan kekuatan yang ditampilkan oleh Cherry On Top melalui nama band dengan satu-satunya ahli wanita dalam 6 orang line-up. Perspektif muzikal Rock Progresif mereka lebih segar dan harus diakui bakal menggegar. Definasi ini terluah dari setiap saat single terbaru berjudul KETAGIH. Berdurasi 6 minit panjangnya namun setelah didengar terasa sekejap. Intro sahaja memakan masa lebih 1 minit tetapi mantap. Dari rangkap pertama sudah meledak berasap sehinggalah tiba ke pre-bridge yang terpaling sedap. 

Ada sedikit vibes muzik band Nightwish dari Finland serta sedikit elemen seram, membuatkan ianya istimewa di halwa telinga. Kolaborasi paduan vokal Holy dan Dato’ Syafinaz menjadi kekuatan utama lagu ini terhasil begitu lazat. Tajuk lagu juga sangat serasi dipadankan dengan melodi dan senikata lagu. EP sulung KETAGIH yang diterbikan oleh Kusham di bawah label One Scream Studio, turut memuatkan 6 buah lagu lain antaranya ialah “Mengintai Rahsia”“Menunggu”dan “Resolusi”. Sesuatu yang baru dengan nuansa berbeza, mampu memberi ‘ketagih’ untuk mendengar lagi dan lagi. Lagu yang menginsafkan dan memberi akal fikiran.

Cherry On Top lahir dari percikan ‘darah seni’ dalam setiap ahli line-up yang bukan calang-calang. Kuzan (kibod & programmer) mewarisi bakat dari bapanya Raja Sham, seorang Pengarah Muzik terkenal dan ibunya Zaira Aziz, seorang Guru Vokal. Manakala Osama (gitar) merupakan anak kepada penyanyi lagenda Dato’ Jamal Abdillah. Ayen (dram) pula merupakan anak kepada Black, pemain dram tersohor band rock Wings. Sementara itu dua beradik Didi (gitar) dan Bobo (bass) membesar dalam persekitaran studio muzik kerana penglibatan bapa mereka dalam industri rock tempatan.

Merasakan kemistri yang kuat di antara mereka, Kuzan telah memilih nama Cherry On Top berdasarkan kehadiran Holy satu-satunya wanita sebagai penyeri band bagaikan ‘buah ceri di atas kek’ yang line-up nya kesemua lelaki. Terdahulu telah menggunakan nama Rock Ages, Kuzan merasakan ianya kurang komersial. Meski memperjuangkan genre Rock Progresif, Cherry On Top turut diperkayakan dengan elemen pop, fusion dan R&B yang memberi kelainan pada band ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada persamaan seperti mendengar band Metalasia dengan penampilan istimewa Ning Baizura, ibaratnya.

KETAGIH (Official MV) – Cherry On Top feat. Datuk Syafinaz Selamat

“Perasaan gementar semestinya ada. Saya berduet bersama satu figura yang berada di level lebih tinggi iaitu soprano. Namun dalam masa yang sama saya sahut cabaran dan ambil peluang ini untuk kami bersinar bersama.” jelas Holy membuka bicara tentang kolaborasi bersama Dato’ Syafinaz. Anak kelahiran Papar, Sabah ini memanjatkan rasa syukur kerana lagu KETAGIH berjaya membuka hati Dato’ Syafinaz dan peluang ini dijadikan pembakar semangat untuk mengasah vokal agar lebih merdu dan padu.

Ditubuhkan setahun yang lalu, Cherry On Top menggabungkan pelbagai inspirasi muzik dari setiap line-up menjadikan muzik mereka tersendiri dan wajar diberi perhatian. KETAGIH dicipta bermula dari pengaruh Klasik Soprano diadun molek bersama Rock Simfoni untuk disesuaikan dengan paduan vokal Holy dan Dato’ Syafinaz. Meski Osama turut berbakat dalam nyanyian namun di dalam band Cherry On Top dia lebih memberi fokus kepada penghasilan riff-riff gitar dan menyerahkan bulat-bulat kepada Holy tugas di bahagian vokal.

Cherry On Top kini boleh diikuti di platform media sosial Facebook dan Instagram, manakala EP KETAGIH boleh dinikmati pada setiap platform digital seperti YouTube, Spotify, iTunes dan sebagainya. Edisi fizikal iaitu CD bakal dilancarkan tidak lama lagi. Dengan semangat yang membara, Cherry On Top sudah bersedia untuk buat industri muzik Malaysia meletup. Hati-hati jangan sampai ketagih!

Sesi wawancara bersama Cherry On Top