Kembali ke dunia seni: Zahnita Wilson buat kejutan dalam video muzik Raya

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2025 – Model dan pelakon terkenal era 2000-an, Zahnita Wilson, kembali menghiasi dunia seni selepas bertahun-tahun menyepi. Kemunculannya dalam video muzik “Aku Tetap Raya”, lagu terbaru nyanyian penyanyi baharu, Soma, menjadi momen istimewa yang menggamit kenangan peminat industri hiburan tempatan.

Zahnita yang sebelum ini lebih menumpukan perhatian kepada keluarga dan kehidupan peribadinya di Kuantan mengakui merasa gementar tetapi terharu apabila kembali ke set penggambaran. “Saya tidak sangka akan kembali ke set selepas berpuluh tahun menyepi. Sewaktu kamera mula merakam, perasaan saya bercampur-baur. Namun, dengan bantuan produksi yang berpengalaman serta sikap profesional Soma, saya cepat menyesuaikan diri dan kembali bersemangat,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran.

Kembalinya Zahnita ke dunia seni juga berlaku dalam suasana yang penuh emosi, selepas beliau dikaitkan dengan insiden keganasan rumah tangga baru-baru ini. Bagaimanapun, Zahnita enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan memilih untuk memberi tumpuan kepada masa depan. “Saya mahu terus kuat untuk anak-anak dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna selepas ini,” tambahnya lagi.

Lagu “Aku Tetap Raya” nyanyian Soma yang dilancarkan pada 6 Mac lalu di Concorde Hotel Kuala Lumpur mengangkat tema kekeluargaan dan semangat Aidilfitri. Pemilihan Zahnita sebagai pelakon dalam video muzik ini dianggap tepat, selepas kemunculan khas artis senior, Datuk Khadijah Ibrahim, turut menghiasi karya tersebut.

Soma

Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri sebagai penulis lirik. Dengan melodi ceria dan lirik yang menggambarkan kehangatan Syawal, lagu ini diharapkan dapat membawa keceriaan kepada peminat muzik sepanjang musim perayaan.

“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana saya ingin mengetengahkan kemeriahan sambutan raya dalam keluarga, terutama bagi mereka yang tinggal di kota dan ingin pulang beraya di kampung halaman,” ujar Soma.

Soma yang sebelum ini telah melancarkan album pertamanya bertajuk Perjalanan, kini mempertaruhkan “Aku Tetap Raya” sebagai lagu raya pertamanya. Beliau berharap lagu ini dapat menjadi pilihan utama peminat sepanjang sambutan Aidilfitri.

Menurut pihak produksi, pemilihan Zahnita dalam projek ini bukan sahaja membawa elemen nostalgia kepada peminat lama tetapi juga menjadi simbol kekuatan seorang wanita yang bangkit selepas menghadapi dugaan hidup. Video muzik “Aku Tetap Raya” yang baru dilancarkan secara digital pada 14 Mac lalu dijangka menjadi antara tontonan wajib peminat sepanjang musim perayaan ini.