
Rahimah Sukor atau lebih mesra disapa sebagai Emma, merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi penggemar rock era 90an. Beliau merupakan bekas vokalis kumpulan Revolusi, dan pernah merakamkan dua album rock solo bersama Warner Music sebelum mengundurkan diri daripada pentas muzik tanah air.
Walaupun tidak lagi muncul di kaca televisyen atau corong radio, Emma masih terus bergiat aktif dalam industri hiburan luar dan dalam negara menerusi syarikatnya sendiri, Impact Music & Entertainment, yang diuruskan sepenuhnya oleh beliau dan suami tercinta.
Emma kini tampil dengan ‘Kembalilah Emma’, sebuah EP yang memuatkan tiga lagu baru, Rintihan Rasa, Sudah Berlalu dan Dunia Cinta, serta dua lagu tribute buat Kumpulan Revolusi dan Merah berjudul Bayangan Misteri 2020 dan Cintaku 2022. Mengambil nama salah satu lagu hit dari album solo pertama beliau pada tahun 1993 berjudul Kembalilah Emma mewakili hasrat peminat yang inginkan kembalinya muzik rock ke persada hiburan tanah air.
Menurut Emma, sepanjang beliau mendiamkan diri dalam industri seni buat sementara waktu, beliau berupaya menyiapkan kompilasi lagu-lagu baharunya dan ada lagu-lagu yang terkandung di dalam EP ini telah lama disiapkan sementara menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.
Baginya, penantian dalam menyiapkan lagu-lagu tersebut adalah suatu proses yang mencabar berbanding kerja-kerja rakaman.
“Sebenarnya proses menunggu lagu-lagu ini disiapkan adalah lebih mencabar daripada proses rakaman, kerana ada lagu dalam EP ini yang mendapat sentuhan arranger dan mixer dari luar negara.” Katanya.
Emma berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri hiburan. Antara yang terlibat dalam pembikinan EP ini adalah Adi Priyo, Muss (bekas vokalis kumpulan May), Denis Chairis, Gjie Arlis, Yazri Malik, dan ramai lagi.
“Kami semua sudah seperti satu keluarga yang besar, jadi amat mudah untuk bekerjasama dengan mereka. Yang penting setiap orang tahu peranan masing-masing, dan ini memudahkan lagi urusan rakaman dalam penghasilan EP ini.” Jelas Emma.
Kemunculan semula Emma dalam arena muzik bukanlah mahu bersaing dengan bakat-bakat baharu dalam industri seni tetapi Emma hanya memenuhi permintaan peminatnya untuk beliau berada semula dalam industri.
“Sejak pelancaran boxset tribute 30 tahun Bayangan Misteri pada tahun 2020 yang lalu, ramai peminat yang meminta Emma untuk menyanyi semula dan EP ini adalah jawapan kepada permintaan para peminat Emma.
“Emma rasa tidak perlu untuk Emma cuba bersaing dengan artis-artis baharu, jika ada yang sudi mendengar lagu-lagu Emma, saya dah cukup rasa bersyukur.” Ujarnya.

Emma juga berkolaborasi bersama penyanyi rock terkenal dan juga bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) iaitu Muss dengan lagu berjudul Dunia Cinta. Terdahulu lagu Dunia Cinta pernah dilancarkan 10 tahun yang lalu di saluran Youtube.
“Jujur Emma katakan, lagu Dunia Cinta sebenarnya lagu pertama yang Emma rakam dalam EP ini. Malah lagu ini sebenarnya sudah pernah dilancarkan di laman YouTube Impact Music pada 22 Februari 2012, dan Emma memilih tarikh yang sama 10 tahun selepas itu untuk melancarkan EP ini.
“Lagu Dunia Cinta dan Sudah Berlalu tidak pernah dilancarkan secara rasmi tetapi team Impact Music mengambil keputusan bagi melancarkan dua lagu ini bersama dengan lagu-lagu lain yang terdapat dalam EP ini.” Katanya.
Menurut Emma lagi, lagu Sudah Berlalu hasil kerjasama dengan Denis Chairis sudah pun mempunyai video muzik (MV) dan telah dilancarkan di saluran YouTube GP Records 4 tahun yang lalu.
“InsyaAllah, kemungkinan kita akan mula menghasilkan pembikinan video muzik untuk lagu-lagu yang lain dalam masa yang terdekat, sekiranya keadaan mengizinkan.
“Harapan Emma hanya ingin menyemarakkan semula industri muzik rock di Malaysia yang kian pupus.” Ujar Emma mengakhiri bicara.
Lirik video Cintaku 2022 telah pun dilancarkan di saluran YouTube Impact Music pada 18 Februari lalu. EP ‘Kembalilah Emma’ pula boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital mulai hari ini, manakala lirik video Rintihan Rasa boleh ditonton di saluran YouTube Impact Music.
95566 257349i always enjoy to do blog hopping and i stumbled upon your weblog .”~; 144632
194642 497388Dude. You mind if I link to this post from my own internet site? This really is just too awesome. 121836