
KUALA LUMPUR : Konsert Nasyid Legenda merupakan sebuah konsert nasyid anjuran Inteam Records Sdn Bhd dengan sokongan Dana Kandungan Digital dari pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Konsert Nasyid Legenda yang membawa slogan Kembali Bersinar ini diadakan bertujuan sebagai ‘tribute’ bagi mengenang jasa penasyid-penasyid tanahair sejak tahun 70-an seperti kumpulan Al-Jawaher, Al-Mizan dan seangkatannya, tahun 80-an seperti Nadamurni dan The Zikr, serta tahun 90-an sehingga ke awal kegemilangan nasyid kontemporari seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani, Brothers dan lain-lain.Â
Konsert ini bakal menampilkan artis-artis nasyid tanahair seperti Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Ustaz Akhil Hayy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan Kumpulan Inteam. Turut ditampilkan adalah penyanyi Shahir Zawawi dan Ustaz Raja Suhaimi.Â
“Di antara objektif kami mengadakan konsert ini selain memenuhi tanggungjawab diberikan pihak K-KOMM, ialah sebagai ekspresi penghargaan kami kepada generasi awal penasyid yang merupakan guru-guru kami dan inspirasi kami suatu masa dahulu. Sememangnya kami membesar dengan lagu-lagu hebat alunan mereka dan kami cuba untuk mengembalikan nostalgia lagu-lagu tersebut di dalam konsert ini” Ujar Hazamin Inteam selaku pengarah konsert ini.
“Alhamdulillah, kami sangat terharu dengan sambutan peminat dan penyokong industri nasyid tanahair terhadap konsert ini sehinggakan jualan tiket RM50 dan RM100 telah habis dalam masa tidak sampai sehari dari tarikh jualan tiket secara rasmi dilancarkan. Walau bagaimanapun, tiket berharga RM150, RM200 dan RM250 masih lagi dijual di platform ilassotickets.com,” tambah beliau lagi.


Perjalanan konsert ini akan terbahagi kepada 4 segmen utama iaitu segmen nasyid tahun 70-an, segmen tahun 80-an ke 90-an, segmen tribute pahlawan nasyid dan segmen nasyid kontemporari penghujung tahun 90-an ke tahun 2000.
Selain persembahan nasyid yang diiringi pemuzik iringan, penonton akan turut di sajikan dengan deklamasi puisi oleh pemuisi terkenal Ustaz Dinie Juri dan juga lakonan sketsa.
Konsert ini turut mendapat kerjasama dan sokongan Radio IKIM sebagai Radio Rasmi, Badan Islam Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai rakan kerjasama dan beberapa penaja yang lain.
Sebahagian dari hasil jualan tiket konsert ini akan turut disumbangkan ke tabung Persatuan Kebajikan Sahabat Nadamurni serta kepada beberapa rakan artis nasyid yang sedang diuji dengan musibah.
Konsert Nasyid Legenda akan diadakan pada 29 Oktober 2022 jam 8.30 malam di Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya. Tiket boleh dibeli melalui platform ilassotickets.com.
