December 4, 2024

POS BALAR, Gua Musang – Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan laluan ‘off-road’ Kuala Betis ke Pos Balar, kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.05 malam itu, 9 buah kenderaan pacuan empat roda RTM dalam perjalanan ke Pos Balar bagi melaksanakan program radio di lokasi terbitan Asyikfm yang berlangsung hingga Ahad ini.

Kesemua tiga penumpang termasuk Pemandu dilaporkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Punca kemalangan dipercayai daripada masalah stering yang menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke tebing bukit hingga menyebabkan kenderaan yang dipandu kakitangan RTM itu terbalik.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan

Menurut pemandu, Azmi, 46, kenderaan pacuan empat roda itu mengalami masalah teknikal menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan jenis Toyota Land Cruiser tersebut.

“Masa turun bukit, kereta bergerak perlahan, jalan berlubang, stering 4×4 (ninja) ini tiba-tiba tidak berfungsi dan kereta ternaik ke tebing sebelum terbalik, Ahamdullillah penumpang semua selamat”, katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Kenderaan pacuan empat roda tersebut pada mulanya gagal didirikan semula berikutan masalah peralatan dan kemahiran dalam mengendalikan situasi kemalangan seperti itu.

Bagaimanapun, masalah berjaya diatasi dengan bantuan konvoi Misi Kemanusiaan Orang Kita 2023, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melalui jalan tersebut bagi melaksanakan program di Pos Balar.

Dengan bantuan Kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK), kakitangan Bahagian Dakwah dan krew penyiaran JAKIM bersama Persatuan 4×4 Malaysia yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.15 malam, kenderaan pacuan empat roda terbabit dapat distabilkan semula.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan

Menurut Pengarah Operasi 4×4 Malaysia, Rody Sofian Buang, Segala peralatan untuk ‘winching’ serta pengalaman, situasi kemalangan di laluan off-road dapat diselesaikan dalam tempoh setengah jam. Sahaja.

“Tiga buah kenderaaan pacuan empat roda milik JAKIM yang lengkap dengan peralatan menyelamat seperti ‘winch’ dan peralatan lain digunakan bagi membantu menaikkan semula kenderaan yang terbalik itu.

“Pengalaman ahli persatuan saudara Hishamudin yang bersama-sama dalam konvoi digunakan dan kenderaan yang terbalik dapat distabilkan semula dalam masa 30 minit.

“Semua krew RTM dan JAKIM yang turut membantu menolak kenderaan itu mempercepatkan lagi proses menaikkan semula kenderaan yang terbalik,” katanya di lokasi kejadian.

Konvoi JAKIM kemudiannya bergerak terlebih dahulu ke Pos Balar dan sampai di lokasi pada kira-kira jam 2.05 pagi, manakala krew RTM tiba di Kg Dakoh Pos Balar pada jam 7.00 pagi.