November 2, 2024
misi peduli yaman

YAMAN – Pergolakan di Negara Yaman masih lagi belum ada nokhtahnya. Namun bagi pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Serantau Muslim yang mengendalikan Misi Peduli Yaman melihat sendiri ujian penduduk Yaman yang serba serbi kekurangan serta bermacam-macam perkara Allah menguji mereka. Mereka tidak senasib dengan kita yang diberi pelbagai nikmat.

Menurut Setiausaha Serantau Muslim, Muhammad Faeez Azahar, kesukaran penduduk bagi mendapatkan air bersih terlalu sukar dan inisiatif telah diambil oleh rakan NGO mereka, Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang telah membina pam untuk mendapatkan air bersih bagi keperluan penduduk setempat.

Derita penduduk minum air tidak bersih

“Di Yaman, nak dapat bekalan air bersih pun sukar. Kami turun ke Kara General Hospital di Marib, kami melihat betapa bermaknanya pam air bersih yang dibina oleh rakan NGO, Global Peace Mission (GPM) Malaysia di hospital itu.

“Setiap hari ratusan ribu liter berjaya dihasilkan untuk memberi manfaat kepada para pesakit di hospital itu dan penduduk setempat. Mereka meluahkan rasa syukur kerana sebelum ini mereka terpaksa menggunakan air tidak bersih untuk proses rawatan.” Katanya.

misi peduli yaman

Serantau Muslim juga bakal menjayakan misi ini bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia bagi menambah baik keperluan untuk manfaat penduduk di Yaman. 

“Ini antara projek dan usaha yang boleh diteruskan oleh semua pihak, InshaAllah Serantau Muslim akan berbincang untuk bersama-sama meneruskan usaha baik ini.” Ujarnya lagi.

Bantu sekolah yang sudah 3 tahun tidak beroperasi

Setibanya peserta misi di Marib, Yaman, mereka terus menuju ke kem pelarian As-Sumayah yang dikatakan antara kem pelarian terbesar di Yaman. Kem yang mempunyai lebih 100 ribu penduduk ini adalah rakyat Yaman yang menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri.

“Bila kami sampai, kami lihat sekolah ini semakin uzur, fasiliti sekolah sudah tiada. Kerusi dan meja pun tidak kelihatan.” Kata Faeez Azahar.

misi peduli yaman

Daripada perbincangan yang dibuat, Serantau Muslim bersetuju untuk membiayai fasiliti sekolah dengan menyediakan kelengkapan seperti kerusi, meja, papan putih dan kipas. Faeez berharap dengan adanya fasaliti ini sekolah tersebut akan dapat kembali beroperasi. Beliau juga berharapp agar misi ini berjalan lancar dengan meneruskan sokongan dan membantu membuat sumbangan di www.untukmuyaman.com.