May 14, 2024

KUALA LUMPUR – Gandingan pemain gitar adik-beradik, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid), sememangnya sinonim dengan kumpulan rock legenda, Search. Persembahan mereka ternyata memberi warna dan aura tersendiri dalam setiap persembahan Search sejak dahulu sehingga kini.

Tidak menghairankan mereka mendapat penghargaan tertinggi peminat apabila Din digelar King of Rhythm, manakala Kid pula digelar King of Tremolo. Skil petikan gitar mereka yang memikat menerusi lagu-lagu popular Search, sekali gus menjadikan lagu-lagu tersebut kekal evergreen sehingga kini.

Sebagai pembuka aktiviti seni tahun ini, Din dan Kid yang lebih mesra dengan panggilan ‘KidDin’ akan tampil menerusi konsert istimewa berjudul ‘Gemuruh’ di Zepp Kuala Lumpur pada Jun nanti. Konsert anjuran Big Stage Entertainment Channel dengan kerjasama MyMuzik Sendiri Entertainment serta RedOne Mobile selaku penaja utama ini akan berlangsung pada 29 Jun 2024, jam 8 malam.

Konsert Search ‘Gemuruh’ akan menampilkan Kid dan Din bersama Min (dram) dan Rozaimie (pemain bass Barbarik sebagai Sessionist) serta Amir Masdi sebagai penyanyi undangan.

Segmen persembahan khas akan menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle, Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl (X Factor Indonesia).

Keseluruhan konsert dijangka mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit sehingga 2 jam 45 minit dengan persembahan 16 lagu tanpa henti.

Konsert Search ‘Gemuruh’ adalah penganjuran kedua Big Stage Entertainment Channel selepas Konsert Tujuh Vibrato Gitar yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November tahun lalu. Konsert terbabit menampilkan tujuh gitaris iaitu Jo Branko, Kid Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C, Muzza dan Anis Kalisa.

Ia turut diiringi pemuzik profesional sebagai house band iaitu Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboards), Ainoll (drum) dan vokalis Muss, Dato’ Hattan, Lan Solo serta dua penyanyi latar profesional iaitu Izzat dan Baby.

Konsert Tujuh Vibrato Gitar mendapat sambutan hebat dari peminat muzik sekali gus membakar semangat Big Stage Entertainment Channel untuk menganjurkan konsert ini pula.

“Pemilihan KidDin dibuat kerana kami yakin dengan persembahan mereka yang hebat dan sentiasa konsisten sewaktu beraksi di atas pentas.

“Mereka juga ada kelompok peminat tersendiri yang sentiasa menyokong setiap kali KidDin mengadakan konsert di mana-mana sahaja lokasi di Semenanjung.

“Istimewanya kali ini mereka memilih untuk berkolaborasi dengan Amir Masdi sebagai penyanyi Konsert Search ‘Gemuruh’ dan ia sesuatu yang hebat,” kata penganjur.

Menurutnya, KidDin akan mempersembahkan lagu-lagu Search yang klasik dan evergreen yang tidak jemu dinikmati oleh peminat sehingga kini.

“Konsert ini pasti akan tampil dengan kelainan kepada para pendengar terutamanya para peminat KidDin, Amir Masdi serta semua pemuzik undangan yang terbabit nanti.

“Tidak keterlaluan dikatakan ia akan menjadi sebuah persembahan yang padat, dinamik, unik dan memberi kepuasan yang tidak dapat diperolehi daripada mana- mana persembahan sebelum ini.

“Satu kejutan bakal berlaku, kami akan umumkan pada masa yang sesuai,” kata penganjur lagi.

Harga tiket yang ditetapkan ialah : ROCKZONE (free standing) Gemuruh RM198 dan Teguh RM178. Manakala PREMIUM (seated) Purnama RM378 dan Metropolitan RM298. Untuk VIP BOX (8 orang) berharga RM6,000. Untuk pembelian tiket, sila layari www.iLassoTickets.com.

Sesi Interbiu bersama KidDin dan Amir Masdi di Sidang Media Konsert Search Gemuruh