Killa Driz dan Syafiq Abdilah Ungkap Kisah Kehilangan dalam “Sepanjang Malam”

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Penyanyi muda berbakat, Syafiq Abdilah, yang melonjak naik melalui program realiti Big Stage, bergabung tenaga dengan penyanyi rap dari Def Jam Malaysia, Killa Driz, untuk memperkenalkan karya terbaharu mereka berjudul “Sepanjang Malam” — sebuah lagu menyentuh jiwa yang mengisahkan kenangan, perpisahan, dan pencarian ketenangan dalam kekeliruan emosi.

Lagu ini mengetengahkan tema kehilangan dan penerimaan, disampaikan melalui lirik jujur dan menyentuh yang menggambarkan perjuangan seseorang dalam melepaskan cinta yang telah berlalu. “Ia tentang mengenang seseorang yang kita cintai di masa lalu, kemudian ‘move on’ selepas itu, dan menjelaskan siapa orang itu,” jelas Killa Driz mengenai maksud mendalam lagu tersebut.

Killa Driz

Menurut Killa Driz, proses penulisan lagu ini bukan sahaja menyeronokkan, malah berfungsi sebagai satu bentuk terapi. “Seronok dan juga therapeutic, salah satu projek kegemaran saya yang pernah saya kerjakan,” ujarnya.

Proses rakaman pula berlangsung dalam suasana santai dan akrab, seolah-olah berkarya bersama sahabat karib. “Bekerja dengan Shazee (penerbit) seperti bekerja dengan sahabat karib. Saya akan sentiasa mengingati sesi bersama Shazee, Syafiq dan Giz (wakil A&R) – banyak perbualan dalam dan lucu yang membantu membentuk mood untuk lagu ini,” tambahnya.

Killa Driz turut menegaskan bahawa karya ini kini menjadi milik pendengar. “Saya percaya sebaik sahaja lagu ini dilancarkan, ia bukan milik saya lagi — tetapi milik mereka,” katanya sambil berharap “Sepanjang Malam” mampu menjadi teman buat sesiapa yang bergelut meluahkan rasa hati, terutama dalam usaha melupakan insan tersayang.

Kerjasama ini juga menemukan Killa Driz dengan beberapa bakat kreatif baharu yang memberi kesan mendalam kepadanya. “Saya percaya kita harus berada dalam frekuensi yang sama untuk bekerjasama, dan untuk projek ini, semuanya rasa mudah dan semula jadi. Saya sangat bersyukur dan tidak sabar untuk bekerjasama lagi dengan mereka,” jelasnya mengenai pengalamannya bersama Syafiq Abdilah, Shazee dan pengarah visual TM Farish.

Syafiq Abdilah

Bagi Syafiq Abdilah, peluang bekerjasama dengan Killa Driz merupakan impian yang menjadi kenyataan. “Dulu Universal Music tanya saya artis mana dari Universal atau Def Jam Southeast Asia yang saya ingin sangat bekerjasama, dan saya jawab Killa Driz. Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa saya,” kata Syafiq.

Menurutnya, lagu ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk disempurnakan, dengan pelbagai versi telah dirakam sebelum memilih versi terbaik untuk dilancarkan. “Ini adalah versi yang kami rasa paling sempurna, dan kami harap anda semua menikmatinya,” katanya.

Dari aspek visual, “Sepanjang Malam” disertai dengan visualiser atau video muzik arahan TM Farish, yang menggambarkan suasana proses penyembuhan hati yang luka. Video tersebut menampilkan dua buah kereta — sebuah Nissan R35 dan sebuah Cefiro — sebagai simbol pelarian yang tenang dan penuh renungan. “Kadang-kadang bila hati kita luka, kita rasa gelisah, jadi kita buat sesuatu untuk alihkan perhatian secara selamat,” kata Syafiq.

Dengan gabungan tenaga kreatif antara Killa Driz, Syafiq Abdilah, Shazee, dan TM Farish, “Sepanjang Malam” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi menjadi ruang ekspresi dan refleksi bagi mereka yang sedang mencari makna dalam kehilangan.

“Sepanjang Malam” kini boleh distrim di semua platform digital bermula 30 Mei lalu.