KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Penyanyi rap muda berbakat, Killa Driz, meraih satu pencapaian bermakna dalam kerjayanya apabila berpeluang bekerjasama dengan dua nama besar dalam industri hip hop tanah air – Joe Flizzow dan SonaOne – menerusi single terbaharunya berjudul Last Time.
Killa Driz yang bernaung di bawah label Def Jam SEA, mengakui bahawa pengalaman bekerjasama dengan dua ikon tersebut bukan sahaja memenuhi impian lamanya untuk berkongsi studio dengan mereka, malah menjadi satu proses pembelajaran yang sangat berharga.
Menariknya, lagu Last Time asalnya bukan ditulis untuk Killa Driz, namun telah dihadiahkan oleh Joe Flizzow kepadanya. Menurut Driz, Joe bukan sekadar memberi lagu, tetapi turut membimbingnya untuk menjadi versi terbaik dirinya sebagai seorang artis.
“Proses penghasilannya cukup organik. Saya masih ingat SonaOne menelefon saya dan menyuruh saya ke pejabat Joe. Sewaktu tiba, ‘beat’ lagu itu sudah siap. Joe tanya sama ada saya sudah tulis lirik atau belum, dan kami tulis bersama. Saya sempurnakan bahagian rap,” kongsi Killa Driz.

Tambahnya lagi, proses kreatif tersebut membantunya memperhalusi kemahiran dan memahami selok-belok menghasilkan muzik berkualiti tinggi. Driz turut mendedahkan bahawa walaupun terdapat pelbagai perubahan dilakukan terhadap lagu itu, bahagian vokal asal tetap dikekalkan kerana sifatnya yang lebih jujur dan tulen.
Lagu Last Time mengetengahkan tema perbandingan antara masa lalu dan masa kini, sebagai simbol kematangan dan proses menjadi diri sendiri.
Dalam masa yang sama, SonaOne, yang turut bertindak sebagai komposer, penyusun dan penerbit, menjelaskan konsep muzik video (MV) lagu tersebut disuntik dengan elemen klasik dan fesyen merentasi era. Visualnya menampilkan latar dinding putih, diinspirasikan dari era televisyen hitam-putih, sekali gus menyerlahkan kesederhanaan yang penuh gaya.
“Kami mahu tampilkan fesyen dari pelbagai zaman dan mengekalkan visual klasik. Konsep ini benar-benar menyerlahkan lagi keunikan lagu ini,” jelas SonaOne.

Sebelum ini, Killa Driz telah mencuri perhatian menerusi lagu-lagu seperti RAP$TAR dan Cuci Mata. Dengan pelancaran Last Time, beliau kini semakin mantap sebagai antara pelapis muda dalam dunia hip hop tempatan dan serantau.
Menariknya, Driz turut berkongsi bahawa beliau bakal melancarkan album sulungnya pada tahun ini dan sedang giat memperkukuhkan penjenamaannya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Lagu Last Time kini boleh distrim di semua platform digital sejak 28 Februari lalu, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Killa Driz.