Legenda muzik Tamil tempatan dan pelopor genre samba rock Malaysia, Darkkey Nagaraja, bakal mengadakan konsert solo pertamanya bertajuk I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert pada 2 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Konsert penuh energetik ini dianjurkan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) sebagai inisiatif kebajikan bagi mengumpul dana untuk membantu golongan memerlukan termasuk anak yatim dan pelajar dari latar belakang susah. Lebih istimewa, ia turut menampilkan dua bintang muda berbakat – Santesh dan Zubir Khan, mewakili generasi baharu dalam muzik Tamil tempatan.

Presiden MMPCC, T Manimaran, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu detik bersejarah dalam usaha memartabatkan seni tempatan sambil membantu komuniti.
“Darkkey sudah lama menjadi ikon muzik rock Tamil sejak era 90an dan kini mengejutkan industri perfileman Kollywood melalui lagu AK The Tiger dari filem Good Bad Ugly. Konsert ini bukan sahaja menghimpunkan peminat, tetapi juga menyokong karya anak tempatan serta membina kesedaran terhadap perjuangan NGO,” katanya.
Konsert dua jam ini dianjurkan dengan kerjasama Patahati Universe, serta disokong oleh Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka sebagai rakan strategik. Publisiti dan jualan tiket pula dikendalikan oleh Mewah Event Management dan iLasso Tickets selaku penjual tiket rasmi.
Tiket telah pun dijual melalui laman ilassotickets.com dengan harga:
RM69 (Kategori Puli Puli – Berdiri) RM79 (Kategori Akamage – Duduk) RM89 (Kategori Adiva Adiva – Duduk)

Pembeli tiket duduk juga akan menerima lanyard eksklusif dan poster bertandatangan.
Setiausaha MMPCC, S Partiben, yakin penganjuran konsert ini akan membuka mata ramai terhadap potensi NGO dalam mengangkat seni sambil berbakti kepada masyarakat.
“Seni menyatukan pelbagai kaum, dan konsert ini adalah platform terbaik untuk menunjukkan bahawa muzik dan kebajikan boleh berjalan seiring. Ini juga salam perkenalan MMPCC kepada khalayak,” katanya.
Santesh, yang mencipta lagu pertamanya Endrum En Kadhaley pada usia 15 tahun, mula dikenali menerusi lagu hit Melayu Amalina pada 2018. Zubir Khan, pula dikenali melalui lagu Yennode Macha yang berjaya mencuri perhatian dengan jutaan tontonan di media sosial.

Sementara itu, Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim, mengalu-alukan penganjuran konsert tersebut yang dianggap selari dengan usaha menjadikan Melaka sebagai hab seni persembahan.
“Panggung ini asalnya adalah pawagam lama Cathay dan kini telah diubah suai oleh MCorp pada 2024. Kami mahu jadikan ia pusat acara seni yang mampu menarik minat pelancong dan penggiat seni, termasuk dari luar negara,” jelasnya.
Pengarah Projek Patahati Universe, Cassandra, menyatakan bahawa konsert ini merupakan langkah pertama dalam siri penganjuran acara berskala besar yang menyasarkan Melaka sebagai alternatif strategik kepada Kuala Lumpur.
“Selain nilai sejarah dan estetika Melaka, harga tiket di sini jauh lebih kompetitif. Kami ingin menjadikan Melaka destinasi pilihan untuk persembahan live,” katanya.
I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert menjanjikan gabungan luar biasa antara legenda dan generasi baru seni muzik Tamil. Menurut T Manimaran, ini adalah pertemuan istimewa tiga generasi – Darkkey, Santesh dan Zubir Khan – dalam satu pentas bersejarah yang menyatukan seni dan kebajikan.