January 13, 2025

KUALA LUMPUR : Bermula dengan membina tapak dalam industri seni pada tahun 2007, Ijam Majid memulakan kerja seninya sebagai seorang pelakon dan perlahan-lahan melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian dan berjaya menghasilkan empat buah single lagu sebelum lahirnya single terbaharu beliau berjudul Tak Mungkin Kembali yang dilancarkan pada 10 Jun yang lalu berserta video muzik (MV) yang juga dilancarkan pada hari yang sama.

Menurut Ijam, kisah di sebalik lagu Tak Mungkin Kembali ini adalah mengenai pasangan yang bercinta dengan teman karibnya tanpa pengetahuannya. Menyedari pasangan dan teman karibnya bercinta dibelakangnya, membuatkan kekasih tersebut tidak ingin kembali berhubung kepada mereka. 

Lirik dan lagu Tak Mungkin Kembali dicipta sepenuhnya oleh komposer Mr Lycon. Bagi Ijam, penulis lagu ini merasakan tema lagu cinta tidak kira sama ada percintaan yang curang ataupun setia, ianya sangat dekat dengan hati pendengar.

Seperti artis lain yang berusaha keras pada masa yang agak sukar ini, Ijam juga terus berfikiran positif untuk terus menyanyi dan berharap agar beliau dapat kembali membuat persembahan secara langsung di masa akan datang. 

Sepanjang proses rakaman lagu ini, beliau tidak mempunyai sebarang kesulitan dan segalanya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, tiada sebarang kesukaran sepanjang proses rakaman lagu ini kerana saya dapat menjiwai lagu ini dengan begitu baik sekali.” Katanya.

Tak Mungkin Kembali adalah sebuah hadiah yang istimewa buat semua peminat setia Ijam Majid dan berharap Tak Mungkin Kembali dapat memenangi hati para pendengar baru. Ijam Majid juga berharap sekiranya ada penganjur ataupun pihak yang sudi memberi ruang dan peluang untuk beliau menampilkan bakatnya. 

Ijam Majid tampil dengan single terbaharunya berjudul Tak Mungkin Kembali

Pada 2019, Ijam telah mengeluarkan single pertamanya berjudul Pejuang Cinta yang berkonsepkan rock hasil ciptaan sepenuhnya oleh Zaza Zack. Pada tahun 2020, beliau telah mengeluarkan single kedua berjudul Permainanmu. Lagu ini mendapat tempat di beberapa stesen radio Indonesia dan pernah menjuarai carta radio streaming 5 minggu berturut-turut. Lagu Permainanmu juga mendapat penghargaan sebagai lagu ‘Pop Most Request On Air Terfavourit’ di Raka Music Award 2021 dan sering diputarkan di stesen radio Melayu Melbourne, Australia. Pada 2021, beliau telah mengeluarkan dua buah single berjudul Dua Insan dan sebuah lagu patriotik sempena kemerdekaan Malaysia berjudul Nagaku Wara Wara Nia. Lagu Dua Insan juga telah mendapat putaran serentak di beberapa stesen radio Indonesia. 

Sebagai seorang penyanyi, beliau mempunyai niat dan impian untuk mempunyai album rakamannya sendiri. Kekangan dari segi dana untuk menerbitkan album rakaman membuatkan usahanya terbantut bagi menghasilkan lagu dalam bentuk fizikal.

“Sebenarnya ada terniat untuk merakamkan album mini, tetapi disebabkan kekangan dari segi kewangan ianya agak sukar sedikit buat masa ini. Insya-Allah mungkin akan datang.” Ujarnya.

Pembikinan video muzik Tak Mungkin Kembali telah dijalankan selama dua hari dan mendapat tajaan lokasi oleh pihak Grand Campbell Hotel Kuala Lumpur.

Ijam yang pernah membintangi beberapa drama TV tempatan antaranya Juvana, LaraHati, Soffiya dan banyak lagi berharap agar lagu Tak Mungkin Kembali ini dapat diterima oleh semua pendengar.

“Untuk lagu terbaharu saya Tak Mungkin Kembali ini, saya berharap ianya dapat diterima oleh semua pendengar seperti lagu-lagu saya sebelum ini dan mendapat tempat di semua stesen-stesen radio Malaysia dan juga Indonesia.” Kata Ijam.

Lagu Tak Mungkin Kembali boleh didengari di semua digital platform antaranya Spotity, Joox, KKbox, Deezer, YouTube dan juga di iTunes. Video muzik rasmi telah pun berada di saluran Youtube Fusion Records MY

Ijam Majid – Tak Mungkin Kembali [Official Music Video]