PETALING JAYA – Dunia perfileman Malaysia bakal menyaksikan sejarah baharu dengan pelancaran filem “Soloz: Game of Life”, yang memaparkan kisah penuh inspirasi seorang ikon E-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Januari 2025.

Diterbitkan oleh Key Billions Sdn. Bhd., filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor, Syafiq Yusof, dan mengetengahkan tema E-sukan yang jarang diterokai dalam sinema tempatan. “Soloz: Game of Life” mengisahkan perjalanan seorang pemuda dari Seremban, Negeri Sembilan, yang menempa nama sebagai pemain profesional permainan Mobile Legends: Bang Bang.
Perjalanan Inspirasi Soloz
Soloz bukan sekadar nama besar dalam arena E-sukan, tetapi juga simbol kegigihan dan keberanian mengejar impian. Bermula dengan penuh cabaran, beliau mencatat kejayaan apabila meraih pingat gangsa dalam acara E-sukan di Sukan SEA Filipina 2019. Popularitinya terus melonjak apabila beliau berjaya membeli sebuah Ford Mustang hasil usaha sebagai pemain profesional, di samping menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada tahun 2022.

Baru-baru ini, dalam sidang media dan malam gala filem tersebut, Soloz meluahkan rasa syukur dan harapannya agar filem ini dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Saya harap filem ini boleh beri inspirasi kepada anak muda. Saya mahu mereka tahu, walaupun kita minat bermain game, kita masih perlu mendengar nasihat keluarga dan melengkapkan pelajaran. Filem ini juga diharap dapat membuka minda ibu bapa supaya lebih memahami dunia anak-anak yang bercita-cita menjadi pemain E-sukan.” Kata Soloz.
Di Sebalik Tabir
Menurut pengarah Syafiq Yusof, cabaran terbesar ialah menghasilkan filem yang mampu menceritakan perjalanan hidup Soloz secara menyeluruh.

“Saya tertarik dengan bagaimana Soloz mengubah persepsi masyarakat tentang dunia permainan video. Dia menunjukkan bahawa seorang gamer juga mampu menjadi insan yang berjaya dan dihormati. Filem ini bukan sahaja untuk peminat E-sukan, tetapi juga untuk ibu bapa dan masyarakat umum,” kata Syafiq.
Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon berbakat, termasuk Hun Haqeem yang memegang watak Soloz. Turut sama ialah Noki K-Clique, Ikmal Amry, Fimie Don, Syafie Naswip, Nia Atasha, dan penampilan istimewa Datuk Remy Ishak.

Bagi Hun Haqeem, membawa watak Soloz adalah pengalaman bermakna buat dirinya.
“Soloz sangat rendah hati dan membantu saya memahami karakternya. Melakonkan peristiwa-peristiwa penting dalam hidupnya di layar perak memberikan saya inspirasi yang mendalam.” Ujarnya.
Harapan Penerbit
Penerbit filem, Rahila Ali, berharap karya ini mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

”‘Soloz: Game of Life’ bukan sekadar hiburan, tetapi kisah penuh makna. Kami mahu generasi muda percaya bahawa impian mereka boleh dicapai, walaupun berdepan pelbagai rintangan.” Katanya.

Jangan Lepaskan Peluang
Filem ini bukan sahaja meraikan dunia E-sukan tetapi juga mengangkat nilai-nilai keluarga, kasih sayang, dan keberanian. Saksikan “Soloz: Game of Life” di pawagam seluruh negara bermula 23 Januari 2025 dan rasai sendiri perjalanan inspirasi seorang legenda E-sukan tanah air.