KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Dua nama besar dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, telah mencipta sejarah apabila bergabung buat pertama kali menerusi lagu balada emosional, Kisah Penuh Kecewa, yang mendapat sambutan hangat peminat dari kedua-dua negara.
Persembahan sulung lagu ini berlangsung dalam konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 31 Mei lalu di The Theatre at Mediacorp, Singapura, dengan Anggi Marito membuat penampilan istimewa sebagai rakan duet. Aksi mantap mereka di pentas menjadi detik penuh simbolik bagi kolaborasi lintas negara yang menyentuh perasaan.
Sebagai kesinambungan promosi, Anggi Marito hadir ke Kuala Lumpur untuk memperkenalkan single tersebut kepada peminat tempatan. Sebuah majlis makan malam eksklusif bersama peminat turut diadakan pada 4 Jun 2025 di restoran ikonik Hameediyah Bukit Bintang. Majlis itu berlangsung dalam suasana santai dan penuh mesra, membolehkan para peminat menikmati pengalaman makan malam istimewa bersama dua penyanyi pujaan mereka.
Menurut Ernie Zakri, lagu Kisah Penuh Kecewa mengetengahkan kisah cinta yang tidak berakhir kerana kehilangan rasa, tetapi disebabkan keputusan berat salah seorang pasangan untuk pergi. Namun, mesej utama lagu ini bukanlah semata-mata tentang kesedihan, tetapi kekuatan untuk terus melangkah walaupun dihimpit kekecewaan.
“Lagu ini membawa tema yang dekat dengan hati ramai orang. Ia berkisah tentang cinta yang tak menjadi, tetapi pada masa yang sama ada kekuatan untuk bangkit. Liriknya sangat jelas dan mudah difahami. Saya percaya ramai yang akan rasa terhubung dengan lagu ini,” kata Ernie, pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39).
Ernie Zakri
Tambahnya, kolaborasi ini membuktikan bahawa muzik mampu merentas sempadan dan menyatukan emosi tanpa mengira latar geografi.
Bagi Anggi Marito, penyanyi berbakat yang dikenali selepas meraih tempat ketiga dalam Indonesian Idol musim ke-11, peluang bergandingan dengan Ernie Zakri disifatkan sebagai satu penghormatan besar.
“Saya sudah lama mengagumi Ernie – suara dia sangat berkuasa dan penuh emosi. Dapat bekerjasama dengannya adalah satu pengalaman luar biasa,” ujar Anggi dengan penuh teruja.
“Kisah Penuh Kecewa” kini boleh distrim di semua platform digital sejak dilancarkan pada 23 Mei 2025. Video muzik rasmi lagu ini turut tersedia, menampilkan naratif visual yang seiring dengan kekuatan vokal dan emosi mendalam dua penyanyi hebat ini.
Anggi Marito
Kolaborasi ini bukan sekadar mempertemukan dua suara, tetapi turut menyatukan dua jiwa seni dari dua negara serumpun – Malaysia dan Indonesia – dalam satu karya yang menggamit rasa dan membuka ruang untuk pemulihan emosi menerusi muzik.
PETALING JAYA – Dua ‘label’ berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan! Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records…