“Kisah Penuh Kecewa” Satukan Ernie Zakri dan Anggi Marito Dalam Kolaborasi Emosi Dua Negara

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Dua penyanyi berbakat besar dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa” — sebuah balada penuh emosi yang merentasi sempadan geografi dan jiwa.

Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan “Kisah Penuh Kecewa” bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang kepada pendengar untuk menghayati perjalanan sebuah perpisahan yang pedih namun penuh kekuatan.

Lagu ciptaan Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK ini mengetengahkan genre ‘power ballad’ dengan lirik yang “straightforward”, menyentuh perasaan mereka yang pernah merasai cinta yang tidak kesampaian.

“Lagu ini sangat ‘straightforward’ dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman,” ujar Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39).

Ernie Zakri

Ernie turut berkongsi pengalaman merakam lagu ini di Jakarta bersama Anggi Marito dan pasukan produksi di sana, meskipun cabaran berpuasa di bulan Ramadan menjadi halangan kecil yang ditempuh dengan penuh dedikasi.

“Rakaman berjalan lancar. Cuma agak mencabar sebab waktu itu bulan Ramadan. Tapi selain itu, Alhamdulillah semuanya berjalan baik,” katanya.

Bagi Anggi Marito, yang merupakan pemenang tempat ketiga Indonesian Idol Musim ke-11, peluang bekerjasama dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan besar. Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu Aura itu sebagai seorang yang bukan sahaja memiliki vokal mantap, tetapi juga mampu menyampaikan emosi secara mendalam.

“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” kata Anggi.

Anggi Marito

Proses penulisan lagu ini juga berjalan lancar menurut Anggi, meskipun pada awalnya mereka masih mencari arah konsep. Namun, keserasian vokal kedua-dua penyanyi membawa kepada penciptaan sebuah lagu yang menyentuh jiwa.

“Penulisan lagu ini hanya memakan masa beberapa jam. Kami ambil kira karakter suara saya dan Ernie, dan sepakat menghasilkan lagu yang menyentuh seperti ini. Ditambah dengan susunan muzik oleh S/EEK, lagu ini jadi lengkap dan sangat istimewa,” kongsi Anggi.

Lagu ini turut dibantu oleh pengarah vokal IRVNAT yang memberikan bimbingan teknikal, menjadikan produksi lagu ini antara kolaborasi yang paling bermakna dalam karier Ernie tahun ini.

“Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa, tetapi merupakan simbol kekuatan emosi dua jiwa seni yang menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai dan perjuangan untuk melepaskan.

Menariknya, Anggi Marito juga dijadualkan membuat penampilan istimewa dalam konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang akan berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura – mempertemukan dua bintang vokal dari Asia Tenggara dalam satu persembahan penuh emosi.

Single “Kisah Penuh Kecewa” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 23 Mei 2025, manakala video muzik rasmi lagu ini turut menemani naratif visual yang seiring dengan kekuatan vokal dan rasa yang dibawa oleh kedua-dua penyanyi ini.