KUALA LUMPUR, 12 Mei – Koperasi Industri Kreatif Malaysia Berhad (KOKREATIF) terus mengorak langkah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi menerusi pengukuhan ekosistem seni kreatif negara. Ditubuhkan pada Oktober 2022, koperasi ini menggalas peranan penting sebagai platform kolaborasi yang inklusif dan mampan bagi penggiat industri seni tanah air.
Diterajui oleh Pengerusinya, Puan Sandakiah Azez — anak kepada allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar — KOKREATIF komited menjadi pemudahcara antara penggiat seni kreatif dan pihak berkepentingan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan. Antara tumpuan utama ialah menyediakan akses kepada peluang kerjasama, rangkaian industri yang lebih luas serta manfaat keanggotaan yang menyeluruh.
“KOKREATIF mengalu-alukan penyertaan semua warganegara Malaysia yang terlibat dalam bidang seni kreatif, termasuk pelakon, penyanyi, pelawak, penulis, pemuzik, pelukis, pengukir, penggiat teater, seni mempertahankan diri dan lain-lain cabang seni, budaya dan warisan,” jelas Puan Sandakiah dalam satu kenyataan.

Ahli Lembaga Kokreatif (dari kiri): Puan Sandakiah Azez
(pengerusi), Hj Haidil Anuar Md Hassim (Setiausaha Agung) dan Sofian Othman (Bendahari)
Dalam usaha mendepani cabaran era digital, KOKREATIF kini giat membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan urusan anggota dan memperkasa perkhidmatan koperasi. Pendekatan digital ini sejajar dengan aspirasi Dasar Koperasi Negara yang menekankan inovasi serta keterlibatan aktif anggota dalam pertumbuhan sektor ekonomi kreatif.
Selain itu, KOKREATIF turut membuka ruang kepada golongan profesional dan usahawan yang ingin menyumbang kepakaran, terutamanya dalam bidang keusahawanan digital, demi memperkukuh daya saing penggiat seni di peringkat nasional dan global.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai koperasi ini, yuran pendaftaran hanya RM30 dengan langganan saham minimum sebanyak RM100. Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi di www.kokreatif.com.