Kolaborasi 4 bintang hebat di konsert Divas & Diamonds

KUALA LUMPUR – Umum kita tahu, diva adalah orang yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan diraikan sebagai yang terbaik. Pihak penganjur konsert, Mega Eve Sdn Bhd yakin bahawa barisan artis yang mereka bawa untuk konsert kali ini akan bersinar seperti berlian dengan lagu-lagu dan persembahan mereka.

Oleh itu, tujuan Mega Eve Sdn Bhd adalah untuk menghidangkan konsert-konsert yang mempamerkan artis-artis yang membawa persembahan dengan penuh intensiti, di mana penonton akan dihiburkan dan menghargai kenangan indah ini selama-lamanya. 

Konsert Divas & Diamonds yang bakal diadakan pada 7 September 2024, bertempat di Arena Larkin, Johor Bahru bermula jam 8 malam akan menampilkan bakat-bakat generasi dari Indonesia dan Malaysia iaitu artis fenomena Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah yang tiada tandingan dan artis yang penuh berkaliber iaitu Dayang Nurfaizah. Untuk melengkapkan barisan artis Divas & Diamonds 2024, pihak penganjur mempunyai satu lagi superstar yang akan diumumkan dalam masa terdekat. 

Sewaktu sidang media yang diadakan pada 27 Mei lalu di hotel The Majestic Kuala Lumpur, Dato’ Sri Rossa mengatakan bahawa dia sudah merindui peminat-peminatnya di Johor Bahru setelah hampir sedekad tidak mengunjungi di sana dan beliau tidak sabar untuk membuat persembahan disana. 

“Ini pertama kali saya berkolaborasi bersama-sama empat orang artis hebat di atas satu pentas, dahulu saya pernah berkolaborasi bersama Dato’ Jamal tetapi tidak pernah sekali bersama Dayang dan seorang lagi artis Malaysia yang tidak kurang hebatnya,” ujar Rossa.

Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu kegemaran sepanjang masa hingga ke single hit terkini, oleh kesemua barisan artis nanti. Menurut Rossa lagi beliau akan berduet bersama Dayang dan juga bersama Dato’ Jamal serta seorang lagi artis yang masih menjadi rahsia.

“Divas & Diamonds 2024 adalah platform terbaik untuk saya bertemu peminat saya di Johor Bahru dan saya tidak sabar untuk menghiburkan peminat saya di sana,” kata Dato’ Jamal Abdillah, melalui video playback beliau semasa sidang media tersebut. 

Dengan cara santai dan tetap penuh hormat, Dayang Nurfaizah berkata, penglibatan beliau dalam Divas & Diamonds 2024, benar-benar satu penghormatan buat dirinya kerana diberi kepercayaan untuk menyertai barisan yang bergemerlapan ini. 

“Saya sangat berbesar hati apabila dapat berkongsi pentas bersama-sama nama besar seperti Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal dan saya juga tidak sabar untuk mengadakan konsert ini kerana bagi saya crowd dan peminat di Johor Bahru begitu supporting dan ini membuatkan saya tidak sabar untuk bertemu dengan mereka. 

“Persembahan saya bersama dengan Dato’ Sri Rossa dan Dato’ Jamal akan menjadi sesuatu konsert yang sangat istimewa dan sebuah persembahan yang tidak akan dilupakan, Insya Allah.” Ujar Dayang.

Walaupun muzik konsert itu akan diterajui oleh pengarah muzik yang belum lagi dinamakan, artis-artis akan diiringi oleh dua kumpulan band di Divas & Diamonds 2024 itu nanti. 

Konsert Divas & Diamonds 2024 ini juga bertujuan untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dilanda musibah. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali, Mega Eve akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin sambil melaksanakan pelbagai acara pada masa akan datang. 

“Lima peratus daripada hasil jualan tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di Gaza”, kata Dr Farhan. 

Harga tiket untuk Divas & Diamonds 2024 bermula dari RM288 hingga RM888. Untuk membeli tiket dan untuk segala pertanyaan, sila layari www.ticket2U.com.