Konflik keluarga dalam ‘Dendam Seorang Madu’

KUALA LUMPUR – Astro terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri hiburan tanah air dengan mempersembahkan sebuah lagi drama penuh emosi dan konflik kekeluargaan menerusi slot Tiara. Drama terbaharu berjudul Dendam Seorang Madu bakal menemui penonton sepanjang bulan Ramadan ini, bermula 3 Mac 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di saluran Astro Prima (saluran 105).

Mengangkat tema konflik perkahwinan dan perebutan harta pusaka, Dendam Seorang Madu menjanjikan jalan cerita yang mendalam dan penuh dengan emosi. Drama ini memaparkan kisah Putri Rayhana yang terperangkap dalam perkahwinan yang diatur atas kepentingan harta dan kuasa. Namun, konflik semakin meruncing apabila dia mengetahui suaminya, Faris Alfian, telah bernikah secara rahsia dengan pembantu peribadinya, Izara. Dalam masa yang sama, ibu Faris, Hanum, berkomplot untuk membolot harta pusaka yang sepatutnya menjadi milik Putri Rayhana.

Menampilkan barisan pelakon berbakat besar, drama ini dibintangi oleh Hannah Delisha (Putri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara), dan Emelda Rosemila (Hanum). Sentuhan magis pengarah tersohor, Riza Baharuddin – yang sebelum ini mengarahkan drama fenomena Andai Tiada Dia – turut menjadikan Dendam Seorang Madu sebagai drama yang dinanti-nantikan.

Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh, Dendam Seorang Madu bukan sekadar sebuah kisah konflik rumah tangga biasa, sebaliknya membawa mesej mendalam mengenai kepentingan pengurusan harta pusaka secara adil serta pemeliharaan keturunan mengikut syariat Islam.

“Di Astro, kami sentiasa berusaha menghasilkan kandungan terbaik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik penonton. Drama ini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pengurusan faraid dan bagaimana kealpaan dalam aspek ini boleh membawa konflik dalam keluarga,” katanya.

Lebih istimewa, drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini turut menampilkan lagu runut bunyi rasmi berjudul Tipu Helah yang dinyanyikan oleh Hannah Delisha sendiri, menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam buat para peminat.

Jangan ketinggalan menyaksikan Dendam Seorang Madu di Astro Prima (saluran 105) mulai 3 Mac 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang. Bagi yang terlepas, drama ini juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka. Langgani pakej Astro One sekarang untuk hiburan tanpa henti seisi keluarga!