January 13, 2025

KUALA LUMPUR – Begitu mengasyikkan dan penuh memukau! Begitulah di antara reaksi penonton yang hadir ketika berlangsungnya konsert istimewa ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’ yang dianjurkan oleh Kharisma Music (KM) di Megastar Arena pada hari Sabtu, 28 September lalu. Konsert gilang-gemilang ini turut ditaja oleh jenama kosmetik terkenal, Alha Alfa, serta disokong oleh Intan Gelombang dan Futurace.

Konsert yang menampilkan dua bintang terkenal dari Indonesia ini menyaksikan ribuan peminat dari seluruh negara membanjiri arena untuk menikmati persembahan luar biasa daripada Afgan dan Lyodra.

“Kami sangat bersyukur dengan kehadiran peminat Afgan dan Lyodra yang sanggup datang dari serata negara semata-mata untuk menyaksikan konsert ADA ini. Terima kasih juga kepada penganjur dan warga kerja KM yang bertungkus-lumus menjayakan acara ini,” ujar Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny.

Malam tersebut dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi berbakat besar, Ash Fasryll, yang menyampaikan lagu ‘Nyaman’ nyanyian asal Andmesh Kamaleng. Persembahannya berjaya memikat hati penonton yang hadir. “Saya amat berterima kasih kepada KM kerana memilih saya sebagai ‘opening act’ dan memberi peluang untuk menunjukkan bakat saya kepada semua,” kata Ash, yang baru-baru ini mencatatkan lebih 1 juta jumlah penstriman di Spotify.

Kemunculan duo paling dinantikan, Afgan dan Lyodra, menambahkan kehangatan suasana di konsert ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’, dengan persembahan yang luar biasa dan memukau hati ribuan peminat yang hadir di Megastar Arena. Konsert ini menawarkan pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan, dengan gabungan lagu-lagu popular dari kedua-dua penyanyi yang berjaya menyentuh jiwa para penonton.

Afgan, dengan vokal mengasyikkan, mempersembahkan beberapa lagu hitsnya seperti ‘Jodoh Pasti Bertemu’, ‘Bawalah Cintaku’, dan ‘Kamu Yang Ku Tunggu’, manakala Lyodra memikat hati penonton dengan persembahan lagu-lagu popular seperti ‘Sang Dewi’, ‘Tak Dianggap’, ‘Menyesal’, dan tentunya lagu wajibnya, ‘Ada’.

“Pengalaman malam ini sungguh luar biasa, saya teruja dapat berkongsi pentas dengan Lyodra dan berinteraksi secara lebih intim dengan peminat saya di Kuala Lumpur,” kata Afgan selepas konsert. 

Lyodra juga tidak ketinggalan menyampaikan rasa syukurnya, “Saya sangat berbesar hati dapat mengadakan konsert di sini dan bertemu dengan peminat semua yang begitu menyokong.”

Dihadiri ribuan peminat dari seluruh Malaysia, suasana malam tadi penuh dengan sorakan dan kegembiraan, mencipta memori indah buat mereka yang hadir. Selain persembahan yang memukau, acara ini turut mendapat sokongan daripada rakan radio rasmi ERA, Sinar, Gegar, serta rakan media rasmi, Gempak.

“Untuk tahun 2024 ini, kami sedang dalam perancangan untuk menganjurkan lebih banyak konsert dan akan mula mengadakan beberapa siri konsert di luar negara seperti Indonesia dan juga Singapura pada tahun hadapan.” Ujar En. Ahmad Jeffny yang turut berkongsi pelan masa hadapan buat Kharisma Music.

Konsert ini menjadi satu lagi tanda kejayaan Kharisma Music dalam membawa bintang antarabangsa ke Malaysia, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai penganjur konsert utama di rantau ini.