Konsert “An Evening With Nadeera” Sarat Emosi dan Penuh Magis

PETALING JAYA, 31 Mei 2025 – Impian penyanyi bersuara lunak, Nadeera, untuk mengadakan showcase solonya akhirnya menjadi kenyataan menerusi konsert sulungnya yang bertemakan “An Evening With Nadeera”, bertempat di Nero Event Space, PJPac 1 Utama, Damansara, malam tadi.

Bermula jam 8.30 malam, acara yang menghimpunkan kira-kira 300 peminat setia itu menjadi saksi kepada perjalanan seni Nadeera yang penuh inspirasi dan keazaman. Konsert anjuran Usanita Entertainment dan MASK Team, diterajui oleh Datuk Adzliana Hasan dan Shawn Amer, menyaksikan persembahan istimewa 10 buah lagu yang dipilih sendiri oleh penyanyi ini, termasuk “Tanpa Dendam Di Hati,” “Fatwa Pujangga,” dan “Bukan Lagi Kita”, diiringi dengan susunan muzik bertenaga dari pengarah muzik, Sze Wan.

Menyifatkan konsert ini sebagai impian yang tertunai, Nadeera berkongsi rasa terharunya apabila idolanya, Dayang Nurfaizah, sudi berduet bersamanya.

“Masa pihak pengurusan tanya saya nak duet dengan siapa, saya terus sebut nama Dayang Nurfaizah. Saya kagum dengan keunikan suara dan imej dia. Bila team saya kata Dayang sendiri setuju nak menyanyi dengan saya, saya memang melompat kegembiraan,” ujar Nadeera penuh emosi.

Antara detik paling menyentuh hati sepanjang malam persembahan itu adalah kehadiran penyanyi tersohor, Anuar Zain, yang memberikan sokongan secara peribadi tanpa sebarang pengumuman awal.

“Saya sangat bersyukur. Ya Allah, itu luar biasa. Senior macam beliau datang untuk sokong saya… saya terharu sangat,” katanya.

Turut memberi sokongan adalah Dato’ Zainal Abidin, mentor Nadeera ketika di program Mentor Legend, yang menjadi antara individu terawal menyedari bakat besar yang dimilikinya. Nadeera turut mengimbas kenangannya menyanyi di lounge hotel sebelum ini, menyifatkan perubahan daripada “kerusi dan meja” kepada lautan penonton malam tadi sebagai pengalaman yang luar biasa dan bermakna.

Persiapan untuk showcase ini bukan mudah, menurut Nadeera. “Saya perlu sediakan 10 lagu, dengan vokal yang tinggi dan mencabar. Hampir sebulan saya berlatih dan memang agak struggle, tapi Alhamdulillah, malam ini saya puas,” katanya.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk “Emas,” “Jampi,” “Try,” “Hakikat Cinta” dan “Boneka Tanpa Hati.” Nadeera juga menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada para peminat, keluarganya yang datang dari Mersing, Johor, dan pasukannya yang sentiasa memberi sokongan padu dalam menjayakan konsert ini.

Konsert ini turut disokong oleh hotel rasmi, M World Hotel Petaling Jaya, serta media digital rasmi, Astro Gempak, dengan kerjasama produksi Virus Ungu dan Rocketfuel.

Nadeera menutup malam gemilang itu dengan janji kepada para peminatnya, “Kalau ada rezeki, saya memang teringin nak buat konsert lebih besar, dengan ribuan orang hadir. Kita terus bermimpi, sebab rezeki itu kalau dah tertulis, pasti akan datang.”