KUALA LUMPUR – Tidak ada yang lebih indah daripada menghargai dan memberi apresiasi terhadap perkara-perkara terdahulu yang pernah bergulir dalam hidup.
Ini termasuklah kekal memberi penghargaan terhadap muzik yang terlebih dahulu membuat pendengar senang hati, mengubat lara seterusnya menjadi genre yang akhirnya diminati sehingga kini.
Salah satu genre muzik yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat kita adalah irama keroncong.
Menyifatkan Keroncong mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, pihak Irama Studios menganjurkan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia atas sokongan Kementerian Komunikasi Dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd.
Lebih mengujakan persembahan para penyanyi dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini akan diiringi oleh pemuzik yang cukup berprolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu. Orkestra Keroncong Irama Perindu adalah kumpulan pemuzik yang ditubuhkan pada tahun 2004 seiring dengan penubuhan Irama Studios.
“Pertamanya kami mahu irama Keroncong terus bersemarak dan perkasa dalam era ini kerana genre ini juga mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.
“Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia juga bukan dikhususkan buat peminat tegar namun selaku penganjur kami mahu menarik minat penggemar muzik baharu untuk ikut kenal seterusnya menikmati irama Keroncong yang tidak patut dilupakan,” ujar pengasas Irama Studios yang juga penganjur, Haji Mahzan Manan.
Mahzan berharap Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini akan membuka mata dan mengimbau kembali nostalgia lagu-lagu lama lewat lantunan vokal penyanyi-penyanyi hebat tanah air.
Maka tidak hairan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia ini dijayakan oleh penyanyi yang cukup ikonik dengan irama Keroncong iaitu Dato’ Yusni Hamid.
Bersama Yusni, Dato’ Khadijah Ibrahim akan ikut berdendang bersama Dato’ Awie dan Datin Alyah. Ini ditambah lagi dengan kehadiran pelapis-pelapis generasi baru iaitu Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013), Jamilah Abu Bakar (Puteri keroncong) dan Han Byul.
Kemunculan Han Byul yang merupakan Juara Big Stage 2019 akan memberi kelainan kepada konsert ini kerana penyanyi asal Korea tersebut akan turut membawakan irama keroncong yang merupakan suatu pengalaman yang cukup baru buat dirinya.
“Mungkin peminat sudah biasa mendengar Dato’ Yusni Hamid melantunkan irama Keroncong begitu juga dengan Dato’ Khadijah Ibrahim yang punya vokal merdu saat menyanyikan lagu-lagu evergreennya.“ Datin Alyah pula punya kredibiliti tersendiri dalam menyampaikan apa juga genre lagu kerana kehebatannya bermain dengan emosi.
“Tapi untuk melihat Dato’ Awie menyanyi irama Keroncong adalah sebuah kejadian yang jarang-jarang berlaku. Maklumlah beliau sangat kental dengan irama Rock, jadi bayangkan bagaimana Awie menyanyi Keroncong?
“Inilah yang perlu disaksikan semua pada Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia pada 5 dan 6 Ogos ini,” ujar Mahzan lagi.
Sementara itu, Awie mengaku teruja untuk berdendang dalam irama Keroncong yang disifatkan akan mencabar kredibilitinya sebagai seorang penyanyi solo.
“Sejujurnya saya sendiri teruja untuk mendengar suara sendiri mengalunkan irama Keroncong. Irama ini tidak mudah bagi saya, apa lagi Keroncong bukan ‘makanan’ saya.
“Namun sebagai salah seorang pelaku seni yang menghargai irama Keroncong dan membesar bersamanya, saya harap saya mampu memberi variasi baharu dalam penyampaian Keroncong cara Awie,” katanya.
Bagi Alyah pula kesempatan yang diberi Irama Studios untuk terbabit dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia umpama sebuah penghormatan buat dirinya.
“Saya sifatkan kesempatan ini sebagai sebuah penghormatan terhadap saya, seorang penyanyi generasi masa kini yang akan berkongsi panggung dengan dua biduanita tersohor iaitu Dato Yusni Hamid dan Dato Khadijah Ibrahim yang amat saya segani.
“Saya berharap pembabitan saya menjayakan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia akan menambahkan ilmu buat diri sendiri serta meninggalkan kenangan manis buat semua,” kata Alyah.
Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos 2023.
Tiket-tiket konsert boleh dibeli mulai 12 Jun 2023 menerusi www.ilassoticket.com.my
Harga tiket: RM588.00, RM388.00, RM288.00, RM188.00 & RM88.00