September 10, 2024

KUALA LUMPUR – Blues Gang merupakan kumpulan muzik yang menampilkan irama blues dan rock segar dengan menyelitkan unsur-unsur cerminan rakyat Malaysia seperti lagu Apo Nak DiKato yang menggunakan bahasa loghat Negeri Sembilan telahpun melalui perjalanan selama 5 dekad dalam industri hiburan tanah air. Kini, selepas 50 tahun akhirnya Blues Gang muncul solo dalam persembahan berskala besar pada malam eksklusif konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos nanti.

Konsert yang akan berlangsung di pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, bakal melakarkan sejarahnya tersendiri setelah hampir 14 tahun tidak mengadakan konsert berskala besar seperti ini dalam meraikan peminat-peminat Blues Gang yang merindui band legenda ini yang terkenal dengan karya kritis dan berjiwa rakyat itu.

Menurut penyanyi Blues Gang, Ito Mohd, konsert ini dianggap sebagai cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang pada persembahan yang dinamakan bersempena judul malar segar mereka, Apo Nak Dikato yang dirilis 40 tahun lalu.

“Secara solo, di pentas sebesar ini, konsert Blues Gang Apo Nak Dikato ialah yang pertama selepas 50 tahun. Kali terakhir muncul dalam konsert berskala besar ialah pada Konsert 2 Raksaksa Reunion 2011tapi bersama Sweet Charity.

“Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap rare selepas 14 album kami. Saya sendiri, secara solo pun memiliki 20 album. Justeru,  ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama untuk peminat dan penggemar blues.” Katanya ketika menghadiri sidang media di Heritage Club, Royale Chulan, Selasa lalu di sini.

Sebagai penghargaan dan terima kasih Blues Gang kepada peminat yang membeli tiket konsert ini, penganjur dengan berbesar hati akan menghadiahkan beberapa hadiah cabutan bertuah berupa gitar eletrik, keyboard serta banyak cenderahati menarik yang lain kepada pembeli tiket bertuah. PBH Muzik dan BLW Gitar sekali lagi bermurah hati terus menyokong industri muzik Malaysia dengan menaja kesemua hadiah ini nanti. Pengumuman pemenang bertuah akan dibuat pada hari konsert dan akan disampaikan oleh kumpulan Blues Gang sendiri.

Dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan AV Group, Zool Azri Abu Bakar dan Shamsul Effendi Mahammad sebagai rakan kongsi penganjuran konsert ini, Ito bersama rakan seperjuang Blues gang, Julian Mokhtar (pemain Gitar) dan Ghani Dato Abu Talib (pemain keyboard) telah menandatangani 2 buah gitar yang akan menjadi milik kepada pemenang bertuah di konsert Blues Gang Apo Nak Dikato itu nanti.

Ito juga menjelaskan bahawa konsert pada Ogos itu nanti bagi memperbetulkan prasangka bahawa Blues Gang hanya tinggal nama.

“Kenapa Blues Gang Apo Nak Dikato sebagai judul konsert istimewa ini ? Ini tidak lain sebagai tribute karya dalam loghat Negeri Sembilan ‘paling power’ kami sepanjang 40 tahun ini.

“Blues Gang tidak pernah bubar walaupun kehilangan beberapa ahli yang diakui meninggalkan kesan mendalam buat kami. Konsert ini juga bagi menghidupkan kembali kenangan bersama, selain bertepatan dengan kelahiran single, Bincang Adik Beradik yang akan dilancarkan nanti,” katanya sebagai menyusul single Panglima Awang Hitam yang telah diterbitkan sebelum ini.

Terdahulu, Blues gang telah dianggotai oleh pemain bass dan vokal, Jim Madasamy telah meninggal dunia pada 2018 sebelum pemain dram, Shaik Karim menyusul Julai tahun lalu. Kini band yang dikenali dengan lagu-lagu seperti Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti,  hanya tinggal bertiga untuk meneruskan perjuangan Blues Gang yang dikenali semenjak tahun 1979 menerusi album Inggeris, Anytime, Anyday. 

Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan produksi dan penerbit konsert, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Itos Cottage Muzik sebagai rakan-rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket. Konsert ini juga mendapat sokongan penajaan daripada PBH Music & BLW sebagai rakan teknikal.

Blues Gang dijangka bakal memperdengarkan semua hits mereka dalam konsert selama hampir dua jam itu termasuk lagu-lagu siulan ramai seperti Ibu dan lagu ikonik Apo Nak DiKato selain lagu Inggeris daripada album terdahulu berjudul Malaya Blues yang bakal mengembalikan nostalgia turut didendangkan oleh kumpulan blues lagenda tanah air ini nanti.

Selaku penganjur, Zool Azri berkata, sesuai dengan cerminan perjuangan Blues Gang yang sampai hari ini terus dikagumi kerana keutuhan identiti yang dibawa selama 50 tahun ini, satu segmen khas Melayu akan diselitkan pada malam berkenaan.

“Selain puluhan hits Blues Gang seawal 70an, segmen khas Melayu pula akan menyaksikan bagaimana alunan blues dan rock menyatu dengan Dikir Barat, serunai Melayu, gendang serta beberapa muzik tradisi Melayu yang menjadi teras muzik Melayu Malaysia sejak zaman berzaman.” Ujar Zool Azri.

Beberapa pemuzik serta penyanyi undangan juga akan turut serta dalam sesi jamming bersama Blues Gang sebagai tanda sokongan dan persembahan istemewa untuk peminat.

Shamsul Effendi pula berkata “Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato tidak lain adalah sebagai penghormatan kepada band selegenda Blues Gang yang masih utuh dengan perjuangan, memikat penggemar daripada pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat, tanpa mengira umur.

“Selain daripada menonton serta bernostalgia dengan konsert ini nanti, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert akan disumbangkan kepada tabung bantuan Palestine yang amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kita semua,” tambah Shamsul Effendi lagi.

Peminat boleh mendapatkan tiket-tiket konsert Blues Gang Apo Nak Di Kato di laman web ilassotickets.com mulai sekarang sehingga ke tarikh konsert. Peminat juga boleh memilih membeli secara bayaran ansuran sebanyak 3 kali di laman web itu nanti menggunakan aplikasi Atome.

Sebagai penghargaan juga, pengajur bermurah hati memberi diskaun 15% bagi pembelian tiket  platinum dan Diamond bermula 5 Jun hingga 16 Jun ini. Kepada semua peminat, disaran untuk merebut peluang ini semasa tempoh diskaun berlangsung.

Bagi menjamin keselesaan semua peminat yang hadir, kesemua kategori tiket adalah duduk dan bernombor. Bagi peminat yang pertama kali hadir ke Zepp KL, venue ini menyediakan kemudahan lengkap seperti tandas, surau, kaunter makanan ringan serta ruang merokok di bahagian luar dewan konsert. Bagaimana pun, makanan serta minuman adalah dilarang dibawa masuk ke dalam dewan konsert.

Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 (Royal Box – ruang eklusif boleh memuatkan 8-10 pax) boleh didapatkan dengan melayari laman webtiket online di http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.